am@hmetro.com.my
Arau: Anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) yang masih aktif akan diberikan pengecualian daripada menduduki ujian tertentu dalam proses pemilihan untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui program latihan Pegawai Kadet Graduan, bermula tahun ini.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengecualian itu selaras dengan Perintah Majlis Angkatan Tentera Siri 9/2025 yang membabitkan empat ujian.
“Ini termasuk Ujian Pengetahuan Am, Ujian Kecerdasan Akal, Ujian Kepimpinan dan Merancang serta Ujian Pengucapan Awam,” katanya dalam Ucaptama Sesi Syarahan Eksekutif bersama Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, langkah itu antara beberapa inisiatif dilaksanakan Kementerian Pertahanan bagi memperluas peluang pegawai kadet PALAPES meneruskan kerjaya dalam ATM.
Beliau berkata, kementerian turut menjalankan kajian bagi menambah baik bayaran insentif kepada pegawai kadet PALAPES termasuk elaun kehadiran latihan tempatan, bounti tahunan dan pemberian pakar.
“Pegawai lepasan PALAPES juga boleh memohon Pertugasan Sepenuh Masa bagi mengisi perjawatan tertentu di unit, kapal, pangkalan dan formasi ATM.
“Sekiranya mereka kemudiannya diserap ke dalam Angkatan Tetap (merujuk perkhidmatan ketenteraan sepenuh masa dalam ATM), tempoh perkhidmatan dan pangkat semasa akan diambil kira mengikut syarat ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, kementerian mencadangkan pindaan perundangan bagi membolehkan pegawai lepasan PALAPES yang tamat tempoh perkhidmatan tetapi masih berminat kembali berkhidmat dalam Angkatan Sukarela dan tidak perlu ditauliahkan semula.
Katanya, cadangan pindaan itu kini sedang menunggu kelulusan.
“Sekiranya diluluskan, pegawai berkenaan hanya perlu melalui proses melanjutkan tempoh tauliah selaras dengan Akta Angkatan Tentera 1972,” katanya.
Selain itu katanya, ATM meneliti cadangan untuk memberi peluang kepada Pegawai Kadet PALAPES menjalani latihan industri di unit dan pasukan Angkatan Tetap bagi memberi pendedahan kepada persekitaran tugas sebenar ATM.
Katanya, laluan pembangunan kerjaya dalam Angkatan Sukarela juga sedang diperkemas melalui penyesuaian tempoh kursus dan pembangunan Pendidikan Ketenteraan Profesional yang selari dengan Angkatan Masa Hadapan.
“Selain itu, Sistem Officer Voluntary Enrollment and Reporting Workspace Across Three Command Hubs atau OVERWATCH telah dibangunkan bagi membolehkan penempatan, status perkhidmatan dan pembabitan pegawai muda lepasan PALAPES dipantau dengan lebih teratur selepas ditauliahkan,” katanya.
“Insya-Allah kita akan mula menggunakan sistem ini bagi pengambilan pentauliahan 2026,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

