Pas perlu terajui penyatuan ummah, sasar kerusi PM – Pemuda Pas Kedah

KOTA BHARU – Pas perlu berperanan sebagai peneraju utama dalam usaha penyatuan ummah dan menyasarkan kerusi Perdana Menteri, kata Ketua Pemuda Pas Kedah, Ilyas Ahmad.

Beliau menggesa parti itu juga tidak seharusnya lagi memberi laluan kepada parti lain untuk menerajui jawatan Perdana Menteri kerana mempunyai calon berkelayakan.

Menurutnya, sudah tiba masanya Pas tampil sebagai kuasa utama dalam usaha membentuk kepimpinan di peringkat Persekutuan.

“Kita tidak mahu lagi dengar kata-kata seperti ‘tak apa, biarlah orang lain jadi Perdana Menteri’. Kita tidak mahu dengar lagi perkara itu.

“Kali ini, kita mahu pastikan Pas menjadi peneraju utama di peringkat Persekutuan,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda Pas pada Muktamar Pemuda Pas di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai lalu memberitahu bahawa tiga perkara menjadi keutamaan sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri iaitu ekonomi, pendidikan yang adil dan keselamatan negara.

Dalam pada itu, Presiden Pas, Abdul Hadi Awang berkata, parti itu sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) termasuk sekiranya pilihan raya berkenaan diadakan lebih awal daripada jadual.

Kenyataan itu susulan hasrat Ahmad Zahid supaya PRU16 diadakan lebih awal bagi membolehkan kerajaan memperoleh mandat baharu daripada rakyat.

Sementara itu, perwakilan Pemuda Pas Terengganu, Mukhlis Hasin turut menggesa Pas menjadi peneraju agenda penyatuan dan bukan sekadar berada di posisi pengikut.

Beliau berkata, parti tidak seharusnya mengorbankan identiti atau prinsip hanya atas alasan mahu mengekalkan perpaduan.

“Jangan sesekali takut untuk mempertahankan identiti kita hanya semata-mata mahu mempertahankan perpaduan.

“Kita tidak sepatutnya takut untuk mempertahankan kebenaran hanya kerana mahu menjaga perpaduan,” katanya.

Menurutnya, peranan Pemuda Pas bukan hanya menyatukan ahli di peringkat akar umbi, sebaliknya turut memastikan kepimpinan parti bersedia menjayakan sebarang usaha penyatuan.

Scroll to Top