Apakah nasihat dan garis panduan Datuk kepada penggiat seni khususnya dalam penghasilan karya yang lebih bermaruah?
Jawapan
Dunia seni mempunyai kedudukan yang sangat besar dalam kehidupan manusia. Sejak dahulu, manusia menggunakan seni sebagai medium menyampaikan pemikiran, membentuk emosi, mendidik masyarakat dan merakam perjalanan kehidupan.
Justeru, apabila kita berbicara tentang dunia seni, kita sebenarnya bukan sekadar berbicara mengenai hiburan. Kita sedang berbicara mengenai antara instrumen paling berpengaruh dalam pembentukan pemikiran dan budaya masyarakat.
Sebuah drama mungkin hanya mengambil masa satu jam untuk ditonton, tetapi mesej dan imej yang dibawanya boleh kekal lama dalam pemikiran seseorang.
Penggiat seni perlu menyedari bakat, kreativiti dan pengaruh yang dikurniakan Allah SWT itu suatu amanah.
Seni bukan musuh agama
Pertama sekali, perlu ditegaskan Islam bukan agama yang memusuhi seni.
Islam mengiktiraf fitrah manusia yang menyukai keindahan. Rasulullah SAW sendiri bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu indah dan menyukai keindahan.” (Riwayat Muslim)
Kadangkala sebuah cerita mampu menyampaikan sesuatu mesej kepada masyarakat dengan lebih berkesan daripada sebuah syarahan yang panjang.
Apabila seni mempunyai kekuatan untuk membina pemikiran manusia, seni juga mempunyai kemampuan untuk merosakkannya jika tidak dipandu oleh nilai dan pertimbangan moral.
Apabila yang luar biasa menjadi biasa
Antara perkara yang perlu diberikan perhatian pada hari ini ialah kecenderungan sesetengah karya untuk menghasilkan kandungan yang semakin melangkaui norma agama, akhlak dan kesopanan masyarakat. Ada perkara yang pada suatu ketika dahulu dianggap memalukan atau tidak sesuai dipertontonkan secara terbuka, tetapi hari ini semakin mudah dipaparkan atas nama realiti, kreativiti, kebebasan berkarya atau kehendak pasaran. Kita perlu berhati-hati dengan proses ini.
Manusia mempunyai kecenderungan untuk membiasakan diri dengan sesuatu yang dilihat berulang kali. Akhirnya, perkara yang dahulunya dianggap salah boleh mula dianggap biasa.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan hendaklah kamu saling membantu dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah: 2)
Sebuah karya boleh sahaja tidak secara terang-terangan berkata ‘lakukanlah perkara ini’, tetapi melalui jalan cerita, dialog, muzik, sinematografi dan pembinaan wataknya, sesuatu perbuatan salah digambarkan begitu indah sehingga akhirnya diterima secara emosi oleh penonton.
Jangan hanya bertanya: ‘Berapa banyak tontonan?’
Industri hiburan sememangnya sebuah industri. Kita memahami terdapat kos produksi, persaingan, penaja, rating, algoritma dan kehendak pasaran. Namun keuntungan tidak boleh menjadi satu-satunya ukuran kejayaan.
Kita perlu mula bertanya: ‘Apakah kesan karya ini kepada masyarakat?’ Inilah pertanyaan yang sepatutnya turut berada di meja penerbit, pengarah dan penulis skrip. Jangan sampai kita begitu teliti mengira jumlah tontonan, tetapi terlupa menghitung kesan tontonan.
Artis dan penggiat seni figura teladan
Kita juga tidak boleh menafikan hakikat artis dan selebriti antara kelompok yang paling berpengaruh dalam masyarakat. Gaya pakaian artis menjadi ikutan. Gaya percakapan mereka ditiru. Cara mereka menggayakan tudung menjadi trend.
Sebab itulah kita sering menegur perkara berkaitan aurat, akhlak dan penampilan artis. Bukan kerana agamawan mahu mencari kesalahan artis.
Apabila seseorang artis wanita memilih untuk berhijab, kita menyambutnya dengan rasa syukur dan mendoakan agar beliau terus istiqamah.
Namun apabila timbul gaya bertudung yang menampakkan telinga, leher, dililit di tengkuk atau tidak menutupi bahagian yang sepatutnya ditutup, perkara itu tetap perlu diperbetulkan dengan hikmah.
Maka suara para mufti, agamawan dan pendakwah tetap diperlukan untuk memberikan panduan.
Teguran terhadap sesuatu perbuatan bukan bermaksud membenci pelakunya.
Kita boleh menghormati artis dan pada masa yang sama menegur sesuatu yang salah.
Kita boleh menghargai karya seni tanpa perlu bersetuju dengan semua kandungannya.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunjukkan kepada suatu kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang melakukannya.” (Riwayat Muslim)
Bayangkan besarnya peluang pahala bagi seorang artis atau penggiat seni. Sebaliknya, Rasulullah SAW turut memberikan peringatan: “Sesiapa yang memulakan suatu jalan yang buruk, maka ke atasnya dosanya dan dosa orang yang mengikutinya selepas itu.” (Riwayat Muslim)
Ini bukan bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya menghukum individu tertentu menanggung dosa semua penonton. Namun hadis ini memberikan peringatan kesan yang kita tinggalkan kepada orang lain bukan perkara kecil di sisi agama. Lebih besar pengaruh seseorang, lebih besar keperluannya untuk berhati-hati.
Kebebasan berkarya bukan kebebasan tanpa sempadan
Kadangkala apabila agamawan memberikan teguran terhadap sesebuah karya, timbul jawapan bahawa penggiat seni perlu diberikan ‘kebebasan berkarya’.
Kita tidak menolak kreativiti, tetapi dalam kehidupan manusia, hampir tiada kebebasan yang bersifat mutlak.
Maka kebebasan berkarya juga mempunyai tanggungjawab terhadap agama, undang-undang, moral dan kesejahteraan masyarakat.
Kreativiti sebenar bukanlah kemampuan menghasilkan sesuatu tanpa batas. Sebaliknya, kreativiti yang hebat ialah kemampuan menghasilkan karya berkualiti tinggi walaupun mempunyai batas dan prinsip perlu dihormati.
Jangan jadikan kontroversi formula kejayaan
Satu lagi budaya yang perlu direnungkan ialah kecenderungan menjadikan kontroversi sebagai jalan mudah mendapatkan perhatian.
Saya juga mencadangkan penerbit dan syarikat produksi lebih terbuka mendapatkan pandangan agamawan dan pakar bidang sebelum sesuatu karya diterbitkan. Jika drama berkaitan perubatan, kita mendapatkan pandangan doktor. Maka apabila sesebuah karya menyentuh hukum Islam, institusi keluarga Muslim, aurat, perkahwinan, perceraian, hubungan seksual, isu akidah atau perkara sensitif agama, mengapa tidak mendapatkan pandangan ahli agama?
Tegurlah tanpa menghina
Pada masa yang sama, saya juga ingin menasihati masyarakat supaya tidak menjadikan teguran agama sebagai lesen untuk mencaci artis dan penggiat seni.
Islam mengajar amar makruf nahi mungkar, tetapi Islam juga mengajar adab. Apabila seseorang artis tersilap, kita tegur kesalahannya.
Jangan kita menghina keluarganya, memperlekeh rupa parasnya, membuka aib kehidupannya atau mengeluarkan kata-kata yang lebih buruk daripada kesalahan yang sedang kita tegur.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” (Surah al-Nahl: 125)
Berhikmah tidak bermaksud berkompromi. Kita boleh menyatakan yang salah tetap salah, tetapi menyatakannya dengan bahasa yang membuka pintu perubahan.
Seni yang membina tamadun
Saya percaya industri seni negara kita mempunyai potensi yang sangat besar. Kisah pengorbanan seorang ibu sahaja boleh menjadi sebuah drama yang menggugah jiwa. Perjuangan seorang anak melawan ketagihan dadah boleh menjadi sebuah filem yang mengubah kehidupan manusia.
Kisah insan yang kembali kepada Tuhan selepas melalui kehidupan yang gelap boleh menjadi karya menyentuh hati jutaan manusia.
Jadikan populariti sebagai jalan kebaikan
Akhirnya, saya ingin menyampaikan nasihat dengan penuh kasih sayang kepada seluruh penggiat seni.
Bakat yang dimiliki anugerah Allah. Wajah yang dikenali ramai juga anugerah Allah.
Kemampuan mempengaruhi jutaan manusia juga anugerah, tetapi setiap anugerah adalah amanah. Kepada penerbit, pengarah, penulis skrip, pelakon dan seluruh penggiat seni teruskanlah berkarya.
Berkaryalah dengan berani, tetapi biarlah keberanian itu berpandu. Berkaryalah dengan kreatif, tetapi biarlah kreativiti itu mempunyai batas.
Seni juga amanah tentang apakah kesan kita tinggalkan dalam jiwa mereka.
Penulis Mufti Pulau Pinang
© New Straits Times Press (M) Bhd

