KOTA BHARU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir ke Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini pada Jumaat sebagaimana dilaporkan sebelum ini.
Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub serta kepimpinan UMNO negeri termasuk ketua bahagian di negeri ini dilihat mewakili Ahmad Zahid.
Ini merupakan kehadiran kali kedua kepimpinan UMNO ke Muktamar Pas selepas di Pahang pada 2019.

Ahmad Jazlan (dua dari kanan) bersama kepimpinan UMNO negeri termasuk ketua bahagian di negeri ini turut hadir ke Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa di Kota Bharu pada Jumaat. Foto SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Media sebelum ini melaporkan, Pas menjemput Ahmad Zahid dan pimpinan parti itu bagi menghadiri Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-72 itu.
Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, jemputan itu dibuat memandangkan UMNO sebagai rakan kerjasama strategik.