Ada cerita yang tidak pernah diluahkan walaupun sudah bertahun-tahun dipikul sendiri. Selepas 16 tahun dalam industri, Salma Asis atau Salmah Andi Asis, 36, membuka sedikit ruang tentang rasa kecewa yang selama ini dipendam olehnya.
Bagi Juara Mentor 5 itu, terlalu banyak perkara yang meninggalkan kesan sepanjang kariernya. Lebih memilukan apabila sebahagian daripada kekecewaan itu datang daripada orang yang pernah dikenalinya.
“Sebenarnya banyak perkara yang saya kecewa. Orang yang saya kenal banyak memberi saya kekecewaan dalam industri.
“Saya jenis yang memendam. Saya tidak suka mengeluarkan semua perkara itu kerana saya masih menjaga perhubungan sesama manusia dan saya tidak suka bergaduh dengan orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagi Salma, apa yang berlaku dalam industri bukan sesuatu yang baru. Tidak adil juga boleh berlaku di mana-mana.
“Bukan dalam industri sahaja ada perkara yang tidak adil. Di mana-mana tempat kita bekerja atau berkawan pun, sebenarnya perkara seperti itu tetap ada.
Namun, apabila menyentuh tentang industri ini, ada satu perkara yang sukar disembunyikan daripada pemerhatiannya. Dia melihat budaya kroni masih wujud hingga hari ini.
“Industri ini memang banyak kroni. Itu apa yang saya nampak dan saya tidak menuduh sesiapa. Kalau hendak tahu siapa, memang saya tidak akan cakap. Biarlah saya sahaja yang tahu,” tegasnya.
Walaupun menyedari perkara itu, Salma tidak pernah mengubah cara dia bekerja. Dia tetap berpegang kepada prinsip untuk berlaku jujur dan telus dalam urusannya.
“Saya jenis yang telus dalam bekerja. Saya tidak pernah mahu menipu orang. Orang hendak buat apa sekali pun kepada kita, mungkin itu bukan rezeki saya.
“Kroni macam mana pun, akhirnya kita kembali kepada rezeki masing-masing,” katanya.
Pengalaman bertahun-tahun dalam industri turut mengubah cara dia melihat perjalanan kerjayanya. Populariti bukan lagi sesuatu yang dikejarnya seperti dahulu.
Ketika nama Nadeeera dan Aina Abdul terus menjadi perhatian ramai, Salma melihat kejayaan mereka dengan rasa gembira. Dia menganggap kedua-duanya menjadi inspirasi untuknya walaupun Nadeera, Aina Abdul dan dirinya sendiri merupakan kelahiran program Mentor terbitan TV3.
“Nadeera dan Aina memberi inspirasi kepada saya kerana mereka tidak pernah berputus asa dan masih terus membina kerjaya walaupun pelbagai cabaran mereka berdua lalui.
“Saya ada anak yang perlu difikirkan. Sebab itu, hendak fokus kepada kerjaya kadang-kadang menjadi terbatas kerana komitmen terhadap anak-anak. Siapa yang tidak suka melihat orang lain berjaya? Bila mereka berjaya, kita pun gembira,” katanya.
Selepas melalui sepak terajang sepanjang tempoh 16 tahun itu, dia memilih untuk menikmati perjalanan seninya dengan cara sendiri. Apa yang penting baginya adalah terus bekerja selagi masih ada peluang.
“Saya tidak lagi mengejar populariti. Saya hanya bergantung kepada rezeki, tetapi tetap akan berusaha. Biarlah Aina dan Nadeera teruskan kerjaya mereka dan terus menjadi inspirasi kepada semua orang,” katanya menutup bicara.

