am@hmetro.com.my
Nilai: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas dadah lebih 722 kilogram bernilai hampir RM43 juta dalam empat operasi berasingan di Selangor.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, rampasan itu membabitkan bunga kanabis, dadah sintetik MDMA, methamphetamine dan ketamin, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM42.82 juta.
Beliau berkata, rampasan terbesar membabitkan 505.6 kilogram ketamin bernilai RM25.28 juta dari sebuah gudang di Seksyen 27, Shah Alam, pada 21 Julai lalu.
Katanya, serbuan itu dilakukan susulan maklumat diterima daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
“Pemeriksaan di gudang itu menemukan 119 bungkusan plastik berwarna perak mengandungi ketulan dan serbuk putih dipercayai ketamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik Kastam di sini, hari ini.
Dadah berkenaan dipercayai disembunyikan dalam kotak komersial bersama bungkusan serbuk koko.
Amran berkata, seorang suspek lelaki tempatan berusia 30-an ditahan di premis itu dan sudah didakwa di mahkamah.
Beliau berkata, siasatan mendapati Malaysia digunakan sebagai lokasi transit oleh sindiket dadah, dengan sebahagian dadah dikesan berasal dari Sepanyol dan Belanda sebelum dihantar ke pasaran lain.
Katanya, sindiket terbabit sengaja menggunakan Malaysia sebagai laluan transit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Mereka menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit atau pasaran dadah. Kita memandang serius perkara ini dan akan menyiasat serta melumpuhkan kegiatan ini berdasarkan maklumat diterima,” katanya.
Amran yang menyifatkan keadaan itu membimbangkan berkata, JKDM bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa asing bagi bertukar maklumat risikan untuk membanteras penyeludupan dadah.
Katanya, kerjasama itu bukan perkara baharu kerana JKDM sentiasa berhubung dengan agensi penguat kuasa lain bagi mendapatkan dan berkongsi maklumat.
“Dalam satu lagi operasi pada 8 Julai lalu, kita menyerbu sebuah rumah di Bandar Botanic, Klang dan merampas 160.6 kilogram bunga kanabis bernilai RM12.84 juta.
“Rumah di kawasan berpagar dan dikawal keselamatan itu dipercayai digunakan untuk menyimpan dadah berkenaan.
“Lima suspek ditahan dalam serbuan itu dan seorang daripada mereka didakwa atas pertuduhan mengedar dadah,” katanya.
Beliau berkata, sehari sebelumnya, pegawai kastam menyerbu sebuah gudang di Meru, Klang, dan menemukan 51.4 kilogram bunga kanabis bernilai RM4.11 juta.
“Dadah itu disembunyikan dalam kotak komersial dicampurkan bersama pes cili, lampin dan makanan kering. Kes berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.
Amran berkata, kes ketiga membabitkan satu bungkusan ditahan di Hab Antarabangsa Pos Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 Julai lalu.
“Susulan pemeriksaan terhadap alamat dinyatakan dalam nota konsainan, pegawai kita menahan dua rakyat Malaysia bersama bungkusan itu di kawasan Ukay, Ampang.
“Bungkusan itu mengandungi 3.3 kilogram MDMA dan dua kilogram methamphetamine bernilai keseluruhan RM587,500.
“Empat warga asing kemudian ditahan di sebuah rumah yang dikaitkan dengan alamat pada nota konsainan,” katanya.
Amran berkata, siasatan mendapati dadah itu dipercayai disembunyikan dalam ruang khas ‘beg folder’ dipercayai dihantar dari Eropah dan diisytiharkan sebagai beg tangan kulit.
Beliau berkata, dua daripada suspek ditahan sudah didakwa di mahkamah.
Katanya, empat kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali.
© New Straits Times Press (M) Bhd

