bisnes@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia Airlines akan menyambung semula penerbangan terus Kuala Lumpur-Busan, Korea Selatan mulai 2 Disember 2026, selepas laluan berkenaan kali terakhir beroperasi antara tahun 1996 hingga 1998.
Langkah itu adalah sebahagian daripada siri perkembangan baharu Malaysia Aviation Group (MAG) di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0), merangkumi pengembangan rangkaian antarabangsa, peningkatan frekuensi penerbangan serta peluasan perkhidmatan sokongan penerbangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, strategi itu dilaksanakan menerusi penyambungan semula laluan di pasaran sedia ada serta penerokaan ke pasaran baharu.
“Kami terus berkembang secara bermatlamat menerusi usaha memperkukuh rangkaian di kawasan yang mempunyai permintaan, menghubungkan semula pasaran sedia ada, dan meluas ke pasaran baharu.
“Langkah ini dilaksanakan di samping pelaburan berterusan dalam keupayaan yang menyokong syarikat penerbangan serta pelanggan kami,” katanya dalam sidang media MAG di sini, hari ini.
Pengembangan rangkaian itu bertujuan mengukuhkan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan serantau, selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Laluan Kuala Lumpur-Busan (KUL-PUS) akan dikendalikan menggunakan pesawat Boeing 737-8 dengan kekerapan empat kali seminggu, selain melengkapkan perkhidmatan sedia ada Malaysia Airlines ke Seoul.
Malaysia Airlines juga akan menjadi satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan perkhidmatan tanpa henti antara Kuala Lumpur dan Busan.
Bagi menggalakkan permintaan awal, Malaysia Airlines menawarkan tambang pergi balik termasuk semua ke Busan bermula RM2,139 bagi kelas ekonomi dan RM4,999 bagi kelas perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, syarikat penerbangan bersaudara bagi MAG iaitu Firefly akan membuat kemunculan sulungnya di China menerusi pelancaran perkhidmatan terus ke Kunming (KMG).
Menurut MAG, perkhidmatan ke Kunming itu akan menggunakan pesawat Boeing 737-800 milik Firefly dan dijangka memperluas rangkaian antarabangsa syarikat penerbangan berkenaan, selain melengkapkan kehadiran Malaysia Airlines di pasaran China.
Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai perkhidmatan Kunming, termasuk tarikh jualan tiket dibuka akan diumumkan kemudian.
Sementara itu, Malaysia Airlines turut meningkatkan kapasiti penerbangan ke beberapa destinasi susulan peningkatan permintaan, termasuk Fukuoka (FUK) di Jepun, Brisbane (BNE) di Australia dan Surabaya (SUB) di Indonesia.
Penerbangan Kuala Lumpur-Fukuoka akan ditingkatkan daripada lima kali seminggu kepada setiap hari mulai 1 Disember 2026, selepas laluan itu disambung semula pada 2 September 2026.
Malaysia Airlines juga akan meningkatkan penerbangan Kuala Lumpur-Brisbane daripada enam kali seminggu kepada setiap hari mulai 25 Oktober 2026, dengan laluan itu akan menggunakan pesawat generasi baharu A330neo.
Bagi laluan Kuala Lumpur-Surabaya pula, kekerapan penerbangan akan ditambah dua kali seminggu mulai 1 November 2026, menjadikan jumlah penerbangan meningkat daripada 14 kepada 16 kali seminggu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
