Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung pemakaian baju oren bagi orang kena siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah untuk tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta.
Langkah diambil susulan perkembangan terkini
Menerusi kenyataan daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, beliau menyatakan langkah itu diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.
“OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan di lokap.
“Bagi pemakaian gari pula, ia bergantung pada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta warga emas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Foto: Berita Harian
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata individu yang ditahan SPRM tidak lagi perlu memakai ‘baju oren’ ketika dibawa ke mahkamah untuk prosiding reman.
Perdana Menteri dipetik menjelaskan bahawa kelonggaran itu sudah dimaklumkan beliau, semalam, namun tidak memperincikan sama ada ia dilakukan pada mana-mana mesyuarat rasmi atau acara yang dihadirinya.
Foto: PMO
Memaklumkan lanjut, Abd Halim berkata, SPRM bagaimanapun akan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan dengan sewajarnya dalam setiap proses pengendalian OKS.

