farahmarshita@bh.com.my
Kuala Lumpur: Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) memberi jaminan akan menyelesaikan bayaran pengeluaran syer kepada anggotanya secara berperingkat dan mengikut penggiliran.
KPF dalam kenyataannya berkata, pihaknya memahami keresahan anggota yang memerlukan pengeluaran syer bagi memenuhi keperluan kewangan untuk kelangsungan hidup.
Katanya, KPF mengakui masih terdapat permohonan pengeluaran syer yang masih belum dibayar.
“Walaupun berdepan kekangan kecairan, operasi perniagaan Kumpulan KPF kekal positif disokong oleh pelbagai bidang keberhasilan seperti perladangan, pelaburan korporat, hartanah, pasaran modal, Ar-Rahnu, dan pembiayaan.
“Pembayaran akan dibuat secara berperingkat mengikut penggiliran dengan keutamaan turut diberikan kepada kes khas dan kritikal seperti perubatan, pendidikan, hartanah dan keperluan haji, umrah serta agama tertakluk kepada kecukupan aliran tunai,” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, peningkatan permohonan pengeluaran syer secara mendadak bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini memberi tekanan kepada kedudukan aliran tunai.
Katanya, usaha sedang dilaksanakan dengan teliti dan berfokus bagi menstruktur dan melupuskan aset pelaburan yang dikenal pasti bagi memenuhi tuntutan berkenaan.
“Sebahagian usaha berjaya dimuktamadkan dalam tahun 2025 dan perolehan daripadanya dikembalikan kepada anggota bagi pembayaran pengeluaran syer,” katanya.
Menurut kenyataan itu, KPF kini dalam proses pengagihan dividen tahun 2025 berjumlah RM102.10 juta.
Katanya, KPF terus komited dalam merealisasikan pelan rasionalisasi aset pelaburan secara strategik dan berperingkat bagi memperkukuh kedudukan kewangan serta memastikan kelangsungan dan kelancaran operasi serta aktiviti perniagaan.
“Usaha ini turut mengambil kira keperluan dan kepentingan anggota, khususnya dalam memenuhi permohonan pengeluaran syer, selaras dengan komitmen KPF untuk memastikan kebajikan dan kepentingan anggota sentiasa diberi perhatian.
“KPF merakamkan penghargaan atas kesabaran, kepercayaan dan sokongan berterusan semua anggota serta memberi jaminan bahawa pengurusan pembayaran pengeluaran syer akan terus dilaksanakan secara telus dan teratur,” katanya.
Terdahulu, ahli KPF menuntut penyelesaian secara tuntas berhubung kelewatan pembayaran tebusan saham bernilai jutaan ringgit.
Isu kelewatan pembayaran itu disifatkan krisis sistematik yang menjejaskan lebih 9,000 ahli di seluruh negara.
Ahli KPF tuntut penyelesaian kelewatan pembayaran tebusan saham
© New Straits Times Press (M) Bhd
