Pelakon Zahnita Wilson berkongsikan khabar gembira bakal bernikah dengan jejaka pilihan hati pada 26 September ini selepas setahun bergelar ibu tunggal.
Memetik mStar Online, Zahnita berkata dia dan jejaka itu membesar di kawasan kejiranan yang sama dan enggan mendedahkan lanjut mengenai identiti bakal suaminya itu.
BACA: Zahnita Wilson Sah Bertunang, Mr F Berstatus Duda
“Kami berkenalan tidak terlalu lama tapi kami dibesarkan dalam kawasan kejiranan yang sama. Tak banyak yang saya boleh dedahkan sekarang, InsyaAllah saya akan berkongsi tentang bakal suami bila sudah tiba masanya nanti,” katanya.
Sementara itu, Zahnita berkata dia tertarik dengan sikap lelaki itu yang penyayang dan mahu melihatnya bahagia serta ada komunikasi yang baik antara mereka.
“Saya terpikat dengan lelaki ini kerana kami boleh berkomunikasi dengan baik, dia seorang yang penyayang dan mengambil berat.
“Saya rasa apa yang membuatkan saya jatuh hati padanya apabila dia mengatakan sesuatu yang mampu menyentuh hati. Apa yang dia mahu hanyalah melihat saya bahagia,” katanya.
Dalam pada itu, Zahnita berkata anak-anak tumpang gembira dia bakal berkahwin dan akan menghadiri hari bahagianya itu nanti.
“Alhamdulillah anak-anak tumpang gembira dengan berita perkahwinan saya. Bila ibu mereka gembira, anak-anak pun bahagia juga. InsyaAllah mereka akan hadir pada hari pernikahan saya nanti,” katanya.
Terdahulu, Zahnita berkahwin dengan usahawan Abdul Zackery pada 2005 namun bercerai pada Ogos tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan empat orang cahaya mata.
Sumber: mStar Online

