mdroji@bh.com.my
Kuching: Sebanyak 647 sekolah di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak ditutup lima hari mulai 7 hingga 11 September ini berikutan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat di beberapa kawasan negeri ini.
Penutupan itu membabitkan 563 sekolah rendah dengan 108,477 murid serta 84 sekolah menengah yang mempunyai 90,082 pelajar di bawah seliaan 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, JPN Sarawak sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, khususnya ketika berdepan cuaca panas atau keadaan cuaca di luar jangkaan.
Beliau berkata, cuaca panas yang melanda negara ketika ini turut menyebabkan beberapa lokasi di Sarawak merekodkan bacaan IPU pada paras tidak sihat.
“Berdasarkan pemantauan berterusan bacaan IPU sepanjang cuti persekolahan ini serta laporan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia, JPN Sarawak memutuskan untuk menutup sementara sekolah yang terjejas.
“Langkah ini diambil bagi mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid serta seluruh warga institusi pendidikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sekolah yang terbabit dalam penutupan sementara itu berada di bawah seliaan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu, Kanowit, Julau dan Meradong.
Omar berkata, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah yang terjejas akibat fenomena jerebu.
Menurutnya, pelaksanaan PdPR itu adalah selaras dengan peruntukan dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 8 Tahun 2016 mengenai Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016.
Beliau berkata, sebarang perubahan berhubung tempoh penutupan atau perkembangan semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, manakala pihak sekolah perlu mematuhi semua prosedur operasi standard dan garis panduan ditetapkan.
“Pihak sekolah juga perlu merujuk kepada Surat Siaran KPM Bilangan 1 Tahun 2019 mengenai langkah-langkah bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.
“Semua institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Sarawak turut dinasihatkan supaya mematuhi Garis Panduan Pelaksanaan Aktiviti Luar Institusi Pendidikan Bawah KPM Semasa Cuaca Panas serta sentiasa memantau perkembangan IPU melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS),” katanya.
Menurutnya, institusi pendidikan perlu sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan murid, guru serta seluruh warga institusi pendidikan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
