PETALING JAYA: Pemakaian baju oren bagi orang kena siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman digantung serta-merta.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, ia diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.
Katanya, OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan.
“Bagi pemakaian gari pula adalah bergantung kepada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini, Utusan Malaysia melaporkan, individu yang hanya dipanggil bagi membantu siasatan tidak perlu dipakaikan baju oren SPRM kerana ia boleh menimbulkan persepsi berbeza terhadap mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, individu yang hanya memberi kerjasama kepada pihak berkuasa wajar disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lain diputuskan.
Abd. Halim berkata, SPRM akan mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan dengan sewajarnya dalam setiap proses pengendalian OKS.
“SPRM kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan,” jelasnya. –UTUSAN

