am@hmetro.com.my
Kuantan: Kira-kira 100 potongan kek hasil air tangan Allahyarhamah Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan dijual kepada pelanggan bertuah hari ini, sempena hari terakhir pengoperasian Kafe Secangkir sebelum ia ditutup sepenuhnya.
Kafe yang mula beroperasi pada 2024 itu diusahakan Nur Atiqah Sofiya, 32, yang meninggal dunia bersama suami, Muhammad Nazatullah Nazmi, 32, dan anak lelaki mereka, Muhammad Armaan Nazeef, 4, dalam kemalangan 11 kenderaan di Kilometer 110.3 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dekat Temerloh, 31 Ogos lalu.
Adik Allahyarhamah, Muhammad Hazim Rais, 26, berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka menerima sambutan di luar jangkaan selepas mengumumkan akan menutup perniagaan itu disebabkan tidak mampu membawa identiti dan legasi arwah.
“Sambutan hari ini di luar jangka, kami tidak sangka seramai ini (lebih 100 orang) dan arwah juga mempunyai ramai pelanggan.
“Kami sekeluarga terharu dan sebak dengan sambutan yang diberikan orang ramai yang hadir,” katanya ketika ditemui di Kafe Secangkir yang terletak di Sungai Karang Darat di sini.
Muhammad Hazim berkata, terlalu berat untuk keluarga mengekalkan operasi Kafe Secangkir selepas ketiadaan arwah kakaknya dan atas faktor itu mereka sepakat mengakhiri operasi hari ini.
“Ini kerana air tangan kek hanya arwah Angah (Nur Atiqah Sofiya) sahaja yang boleh buat. Walaupun abang saya (Mohd Hafiz Rifqi) ada resipi arwah dan belajar, tetapi hasil dan rasa kek tidak semestinya sama.
“Apa yang boleh saya jamin ialah legasi Secangkir sampai di sini sahaja. Untuk bawakan nama Secangkir ini pada masa akan datang agak berat,” katanya yang memaklumkan orang ramai hadir seawal 9.30 pagi bagi memberi sokongan kepada mereka, meskipun kafe hanya dibuka pada 3 petang.
Sementara itu, pelanggan Syairah Aqilah Zakaria, 27, terkilan kerana tidak dapat merasai kek butter lemon air tangan arwah Nur Atiqah Sofiya.
“Saya sedang mengandung anak sulung dan kandungan sudah berusia tujuh bulan. Mengidam pula kek butter lemon arwah tetapi tiada rezeki.
“Saya mengenali arwah kerana dia yang menjadi jurugambar perkahwinan kami pada 2 Mac 2024,” katanya yang hadir bersama suami Mohamad Hidayatullah Mohamed, 28.
Bagi Asyraff Mat Dalam, 30 dari Kemaman, Terengganu, kehadirannya ke Secangkir adalah kali pertama dan peluang terakhir untuk merasa kek dan kopi di premis itu.
“Saya selalu melihat kafe ini tetapi tidak sempat untuk singgah sebelum ini. Disebabkan hari terakhir ia beroperasi, saya mengambil kesempatan ke sini,” katanya.
Selain Nur Atiqah Sofiya sekeluarga, kemalangan tragis itu turut meragut nyawa Seow Beng Wain, 55, dari Shah Alam, Selangor dan seorang remaja parah.
Pemandu lori tangki berusia 52 tahun yang dipercayai menyebabkan insiden berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd

