Josiah sedia cabar diri, berlakon ikut batas ditetapkan

am@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon, Josiah Hogan mengakui dia sedia melakonkan watak berkaitan LGBTQ kerana ia antara karakter yang mencabar dan menguji kemampuan dalam bidang lakonan.

Namun, kata Josiah atau nama sebenarnya, Josiah Padilla Hogan, 40, pengarah dan penulis skrip di negara ini juga perlu mengetahui batas yang ditetapkan ketika berkarya.

“Saya akan terima sebab sebagai pelakon benda (karakter) itu mencabar saya. Watak apa yang saya boleh bawa, karakter macam mana, itu cabaran sebenar.

“Sebagai pelakon kita bukan mahu tunjuk kepada penonton apa yang kita rasa tapi kita tonjolkan perwatakan dibawakan.

“Apapun, kita ada agama dan hidup dalam masyarakat. Kalau kita nak sampaikan mesej, ada banyak cara. Bukan tunjuk terang-terangan. Itu pendapat saya,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran trailer serta runut bunyi filem Orang Perang, hari ini.

Mengulas lanjut, kata pelakon kelahiran Amerika Syarikat (AS) itu, pelakon perlu berbincang dengan pengarah dalam merealisasikan babak tertentu terutama melibatkan watak melampau atau mengundang kontroversi.

“Selain sensitiviti penonton, industri hiburan Malaysia juga menggariskan peraturan. Kalau bukan fasal peraturan pun, perlulah kita kembali kepada Rukun Negara. Kita kena faham peraturan serta apa yang boleh serta tak boleh dilakukan.

“Cuma kena berbincanglah sebab kita tinggal di Malaysia, bukan di AS. Jika ada mesej yang nak disampaikan, kita boleh fokus kepada perkara itu dan pada masa sama menjaga batas,”katanya.

Ditanya kecaman netizen untuk watak kontroversi pula, kata Josiah, ia dapat dielak sekiranya mesej disampaikan dengan cara yang mampu difahami penonton.

“Kalau mesej positif itu dipersembahkan dengan cara betul sudah pasti penonton boleh faham, tak mungkin kena kecam,” katanya.

Terdahulu, drama Madu Atau Racun mencetuskan kontroversi selepas memaparkan beberapa adegan yang menyentuh sensitiviti dan budaya masyarakat di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top