harisfadli@hmetro.com.my
Putrajaya: Persepsi ketum sebagai ubat adalah mitos kerana tumbuhan itu adalah racun yang mencetus ketagihan, malah memberi kesan buruk berpanjangan kepada tubuh.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, masih ramai menganggap tumbuhan itu sekadar minuman biasa, namun pindaan undang-undang terbaharu membolehkan tindakan diambil ke atas pengguna ketum.
Beliau berkata, pengambilan ketum secara berterusan dikhuatiri mengakibatkan ketagihan berpanjangan malah kesan buruk ke atas tubuh hampir sama seperti penggunaan dadah jenis opiat.
“Di luar sana banyak cerita-cerita di jalanan, bahawa ambil ketum dia boleh menghilangkan penyakit, siapa yang ada masalah kencing manis, boleh hilang kencing manis.
“Ini hanyalah persepsi, sebab ketum mampu memberi ketagihan yang serius sebenarnya sekiranya diambil secara berterusan. Malah ada yang beranggapan boleh ganti heroin dengan ketum.
“Ada yang anggap kalau dah tidak mampu beli heroin dia ambil ketum sebab dia rasa mungkin kesan dia adalah hampir sama,” katanya ketika ditemui di Program Menembak AADK Bersama Media di Kelab Menembak Sasaran Shapadu di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Zainuddin Abdullah; dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Datuk Mohd Effendi Omar serta pegawai kanan AADK.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, ketum tertakluk mengikut Akta Racun 1952 dan pihak AADK kini dilengkapi kit ujian bagi mengesan mitragynine yang juga bahan psikoaktif di dalam tumbuhan itu.
“Di pihak kami tindakan diambil tegas, kita buat operasi kita juga uji urin untuk ketum untuk pastikan mereka yang terbabit boleh diambil tindakan.
“Jadi nasihat saya apa yang dikatakan di luar sana berkenaan ‘khasiat’ ketum hanya retorik semata-mata, tidak betul sama sekali dan pengguna ketum perlu berhenti segera kerana kesannya hampir sama dengan (dadah) opiat lain,” katanya.
Menurutnya, jumlah penggunaan ketum mencatat peningkatan bermula Januari hingga Jun iaitu 1,956 pengguna berbanding 1,579 pengguna dikesan bagi tempoh sama tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
