Brussels: Armand ‘Mondo’ Duplantis menarik diri pada saat akhir daripada acara lompat bergalah lelaki pada hari pertama final Liga Berlian di Brussels, awal pagi tadi, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penyertaannya pada Kejohanan Ultimate minggu depan.
Juara Olimpik dua kali dan juara dunia tiga kali itu tampil di trek Stadium King Baudouin untuk mengesahkan dia tidak akan beraksi, sekali gus menamatkan usahanya memburu kejuaraan Liga Berlian buat kali keenam berturut-turut.
Atlet kelahiran Amerika Syarikat yang mewakili Sweden itu kemudian bersalaman dengan enam peserta lain, sekali gus menjadikan pencabar dari Greece, Emmanouil Karalis, pilihan utama untuk menjuarai acara di Brussels.
Duplantis, yang sudah 15 kali memecahkan rekod dunia, menjelaskan dia mengalami sedikit ketegangan pada bahagian kakinya dan berharap masalah itu dapat diatasi.
Namun, kecederaan berkenaan kembali dirasai ketika sesi pemanasannya.
“Ia sangat mengecewakan. Ini bukan sesuatu yang anda mahukan sebagai seorang atlet.
“Anda sentiasa mahu bertanding. Hati saya hancur. Saya sangat benci perkara ini,” kata Duplantis.
Duplantis mengakui dia tidak pasti sama ada mampu beraksi pada Kejohanan Ultimate Olahraga Dunia sulung yang akan berlangsung di Budapest minggu depan.
“Saya cuba untuk kekal tenang dan positif. Kita akan lihat sama ada saya boleh beraksi di Kejohanan Ultimate. Saya tidak mempunyai jawapannya sekarang,” katanya.
Duplantis menjelaskan masalah pada kakinya bermula ketika beraksi di London.
“Sejak itu keadaan terasa baik dan saya melakukan banyak usaha untuk memulihkannya, tetapi kesakitan itu kembali ketika di Zurich,” katanya merujuk kepada saingan Liga Berlian minggu lalu yang dimenanginya dengan catatan terbaik 6.25 meter.
“Saya teruskan juga walaupun sakit, mungkin sedikit terlalu memaksa. Saya sudah berkata bahawa jika saya merasakan ketidakselesaan ini ketika sesi pemanasan, saya tidak akan melakukan lompatan.
“Oleh itu, saya membuat keputusan sukar untuk tidak memulakan pertandingan. Perkara paling teruk yang boleh berlaku adalah terpaksa menarik diri daripada pertandingan.
“Peminat mahu menyaksikan persembahan yang menarik dan saya berharap dapat memberikan apa yang mereka mahukan. Malangnya, saya tidak mampu melakukannya sekarang.
“Fikiran saya berserabut ketika ini. Ia sangat sukar, tetapi itulah kehidupan dan itulah kehidupan seorang atlet,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
