puterialia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bakal membintangi naskhah filem Langit 2 Warna arahan Erma Fatima, pelakon Indonesia, Reza Rahadian, mengakui tanggungjawab untuk menjayakan karakter lebih penting berbanding jangkaan tinggi penonton terhadapnya.
Menurut Reza, 39, dia tidak lagi berasa tertekan dengan penanda aras yang diletakkan penonton kerana dia sentiasa mencuba untuk memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah.
“Saya fikir jangkaan itu tidak lagi memberi tekanan kepada saya kerana saya hanya menjanjikan diri sendiri untuk melakukan yang terbaik.
“Namun, ia terpulang kepada penonton sama ada mereka suka atau tidak, atau sama ada mereka boleh menerimanya atau tidak lakonan saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro.
Katanya, dia tidak mempunyai kuasa untuk mengawal penerimaan penonton kerana hak berkenaan sepenuhnya terletak pada mereka.
“Saya rasa saya tidak boleh mengawal pandangan mereka. Ia adalah hak mereka sama ada mahu suka atau tidak. Jadi, itu langsung tidak membuat saya tertekan,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Reza berkata fokus utamanya adalah dia perlu memastikan karakter dibawanya dapat dihidupkan dengan baik.
“Apa yang memberi tekanan kepada saya sebenarnya adalah cerita dan karakter itu sendiri.
“Saya hanya perlu memastikan saya membuat ‘kerja rumah’ untuk karakter ini sebanyak mungkin dan berharap agar saya dapat memberikan yang terbaik di set penggambaran.
“Saya tidak mahu pengarah rasa kecewa kerana dia tidak mendapat apa yang diperlukan atau dimahukannya dalam naskhah itu,” ujarnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
