SMART tumpu kesan rakyat Malaysia yang hilang di Nepal – NADMA

harisfadli@hmetro.com.my

Subang: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Malaysia dijangka menyertai misi kemanusiaan di Nepal selama tujuh ke 10 hari.

​Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, kesemua 11 pegawai dan anggota yang dihantar ke Nepal memiliki pelbagai kepakaran berbeza.

​Menurutnya, kesemua kemahiran berkenaan relevan bagi membantu operasi dalam situasi bencana antaranya pakar mencari dan menyelamat (SAR), kendalian dron, logistik, komunikasi dan sokongan teknikal.

​”Pasukan kita berlepas 9 pagi dan akan mengambil masa kira-kira lima jam. Mereka dijangka tiba pada 11 pagi waktu Nepal (1 tengah hari waktu Malaysia).

​”Kita membawa pelbagai peralatan seberat 12.4 tan antaranya kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi, peralatan khas menyelamat terowong, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan satu trak muatan 10 tan.

​”Lokasi penugasan SMART hanya diketahui selepas tiba di sana. Sebaik sampai kita akan disambut oleh wakil Malaysia di sana, kemudiannya diberi taklimat kawasan pengoperasian,” katanya pada sidang media di Pangkalan Udara (PU) Subang, di sini, hari ini.

Seramai 11 pegawai dan anggota pasukan SMART berlepas ke Nepal menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menyertai misi kemanusiaan di kawasan bencana hari ini.

​Mengulas berkenaan objektif pasukan SMART di Nepal, Meor Ismail berkata, objektif utama ketika ini adalah memberi bantuan kemanusiaan dan membantu dari pelbagai aspek termasuk SAR, namun keutamaan adalah mengesan rakyat Malaysia yang hilang.

​Katanya, pasukan SMART dijangka diatur gerak ke lokasi terakhir diketahui di mana keberadaan rakyat Malaysia berdasarkan maklumat yang sudah diperoleh.

​”Biasanya selepas diberi taklimat oleh pihak rakan sejawat di Nepal, mereka biasanya akan disediakan guide (pemandu arah) untuk operasi di sana.

​”Sasaran kita adalah membantu misi kemanusiaan, dalam SAR kita tidak kira siapa saja mangsa kita akan selamatkan. Siapa yang ditemui kita akan selamatkan. Sebab kita tak tahu rakyat kita (yang putus hubungan) berada di mana.

​”Tetapi tumpuan kita adalah kawasan terakhir rakyat Malaysia. Itu tumpuan utama. Semestinya kita mahu jumpa rakyat kita dan lokasi terakhir mereka menjadi tumpuan kami,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top