sukan@hmetro.com.my
Johor Bahru: Meskipun Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu menjinakkan DPMM FC selepas menang 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, semalam namun pengendallnya, Xisco Munoz menegaskan barisan pemain Harimau Selatan berdepan kesukaran sebelum melakar kemenangan keempat berturut-turut dalam saingan liga.
Bekas jurulatih Sheffield Wednesday itu berkata, DPMM FC membentuk pertahanan yang baik dan sukar untuk pemain JDT meloloskan diri dalam usaha memburu gol pertama.
“Kami mengawal permainan dan membawa bola di posisi sayap kiri dan kanan dengan melakukan hantaran lintang namun beberapa gerakan itu dapat dipatahkan benteng lawan yang beraksi konsisten di benteng mereka dan sering mengekori rapat penyerang kami.
“Anda sendiri lihat apabila kami menentang 10 pemain DPMM yang beraksi secara bertahan dan mereka juga membentuk lapisan antara pemain tengah dan pertahanan yang jelas menyempitkan ruang kami untuk bergerak dan terpaksa melakukan rembatan jarak jauh dan perlu lebih agresif apabila melakukan sepakan lintang
“Melihat kepada situasi itu, kami meningkat tempo permainan dan beri lebih tekanan ketika menyerang malah ia berjaya apabila jaringan pertama terhasil dan ia juga kemenangan bermakna buat kami walaupun berdepan kesukaran apabila mengekalkan rekod tanpa bolos selepas empat perlawanan liga,” katanya.
Munoz juga menegaskan aksi di babak kedua juga tidak banyak perubahan apabila DPMM FC kerap bertahan dan ada ketika mereka melakukan serang balas namun pemain JDT yang berada di posisi tengah begitu pantas merampas bola bagi mengelak pemain lawan menyusup masuk ke kawasan JDT
Beliau juga mendedahkan beberapa `set-piece’ yang dirancang pada perlawanan itu tampak kurang efektif dan akan memperbaiki segera bagi memastikan apa yang dirancang menerusi sepakan percuma mahupun sudut mampu diterjemahkan dengan jaringan.
Mengulas mengenai prestasi Matias Nahuel yang tampak kurang konsisten berbanding Stoichkov yang dimasukkan di babak kedua dan berjaya membentuk corak permainan lebih berkesan, Munoz menegaskan ada ketika prestasi pemain tidak berada di tahap memuaskan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
