Banjir Nepal: Malaysia sedia hantar pakar DNA, lima dron bantu operasi SAR

Banjir Nepal: Malaysia sedia hantar pakar DNA, lima dron bantu operasi SAR

Malaysia bersedia menghantar pakar daripada Jabatan Kimia ke Nepal bagi membantu pihak berkuasa negara itu menjalankan proses pengecaman identiti mangsa menerusi padanan Asid Deoksiribonukleik (DNA).

Sampel DNA 52 waris telah selesai diambil

Memetik laporan daripada Sinar Harian, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan, sampel DNA daripada 52 waris rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan telah selesai diambil dan akan dihantar ke Nepal.

“Kita baru selesai mengambil contoh DNA keluarga terdekat. Jadi, sampel ini akan dihantar ke Nepal dan kalau perlu, kita akan menghantar juga pakar-pakar daripada Jabatan Kimia untuk membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti padanan DNA tersebut.
“Ini kerana banyak mangsa yang terlibat dan memerlukan masa yang panjang untuk membuat padanan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Karnival Kemerdekaan Taman Pinggiran Senawang di sini pada Sabtu.
Banjir Nepal: Malaysia sedia hantar pakar DNA, lima dron bantu operasi SAR

Foto: FB Datuk Seri Utama haji Mohamad bin Haji Hassan

Negara lain turut hantar pakar DNA ke  Nepal

Menurutnya, beberapa negara lain turut difahamkan akan menghantar pakar DNA ke Nepal bagi membantu mempercepatkan proses pengecaman identiti mangsa.

“Banyak negara lain juga akan menghantar pakar-pakar DNA ke Nepal untuk membantu pihak berkuasa Nepal mengenal pasti dan mempercepatkan proses padanan DNA yang telah diambil daripada keluarga terdekat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamad memaklumkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) Malaysia yang berlepas ke Nepal pada pagi Sabtu turut membawa lima dron berkapasiti tinggi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.

“Boleh jadi mereka (pasukan SMART) dah sampai di Nepal dan kita membawa lima dron berkapasiti tinggi yang disumbangkan oleh beberapa syarikat.
“Ia bagi membantu pihak berkuasa Nepal mengesan jika ada mangsa yang terselamat di kawasan yang sukar untuk dijejaki secara manual kerana kawasan yang terlibat agak luas, bercerun dan berbahaya,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan Nepal memberikan kerjasama baik kepada Kedutaan Malaysia di Kathmandu, manakala waris rakyat Malaysia yang terlibat akan menerima perkembangan operasi secara berkala.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawat saya, Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal, yang akhirnya membenarkan pasukan menyelamat kita ke sana.
“Ini kerana mereka tidak membenarkan pasukan SAR negara-negara lain ke sana, melainkan China 10 orang dan India dua orang, manakala Malaysia dibenarkan menghantar 10 orang,” katanya.

Foto: FB Datuk Seri Utama haji Mohamad bin Haji Hassan

Nepal had pasukan luar agar operasi menyelamat tidak jadi lebih sukar

Ujarnya, pengehadkan pasukan luar dibuat bagi memastikan operasi menyelamat tidak menjadi lebih sukar untuk diselaraskan.

“Berdasarkan pengalaman gempa bumi yang pernah berlaku di Kathmandu dulu, yang mana banyak pasukan SAR daripada negara-negara lain datang yang akhirnya menyulitkan tuan rumah untuk melayan mereka dan yang lain-lain.
“Jadi, mereka tidak mahu perkara itu berulang lagi. Itu sebabnya mereka tidak membenarkan negara-negara luar menghantar pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu, kerajaan tidak menghalang waris untuk ke Nepal, namun mereka akan dimaklumkan perkembangan terkini secara berkala.

“Setiap waris akan dihubungi secara berkala, boleh jadi setiap hari kalau ada perkembangan terbaharu.
“Kita tidak mengeluarkan maklumat kepada orang ramai. Kita cuma hantar maklumat terkini kepada yang berdaftar kerana untuk menghormati keluarga mereka yang terlibat,” katanya.

 

Sumber: Sinar Harian (Syamilah Zulkifli)

Scroll to Top