Paris: Paris Saint-Germain (PSG) merekodkan permulaan paling buruk dalam saingan liga untuk tempoh 19 tahun selepas tewas 1-2 kepada Monaco di laman sendiri, sekali gus masih gagal mencatat kemenangan selepas tiga perlawanan Ligue 1 musim ini.
Namun, hanya beberapa hari sebelum memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), kelab gergasi Perancis itu melanjutkan kontrak pengendali, Luis Enrique sehingga 2030.
“Tiada sebab untuk bimbang. Saya cakap ini dengan jujur. Berapa banyak percubaan tepat ke sasaran Monaco? Dua. Berapa gol? Dua.
“Kita akan lihat pada penghujung musim sama ada semuanya kembali seimbang,” katanya selepas kekalahan 1-2 kepada Monaco apabila PSG mendahului pada separuh masa pertama sebelum melepaskan dua gol selepas rehat.
“Apa yang saya mahu sampaikan ialah anda tidak seharusnya hanya melihat kepada keputusan.
“Kami melakukan tekanan dengan sangat baik, jauh lebih baik berbanding banyak perlawanan sebelum ini ketika kami tidak bolos. Tetapi kali ini nasib tidak menyebelahi kami,” kata Luis Enrique.
Beliau menegaskan Monaco tidak mungkin mampu mengulangi keputusan sama jika kedua-dua pasukan bertemu berulang kali.
“Monaco tahu jika mereka bermain menentang kami dengan cara ini sebanyak 10 kali, kami akan menang lapan kali, satu seri dan kami kalah sekali.
“Ini adalah kekalahan yang sekali itu,” katanya dengan penuh yakin.
PSG kini mengalihkan fokus kepada aksi pembukaan UCL menentang Slovan Bratislava di laman sendiri, Khamis ini, dalam usaha memburu kejuaraan Eropah buat kali ketiga berturut-turut.
Hanya mengutip dua mata daripada tiga perlawanan menjadikan permulaan PSG musim ini yang terburuk sejak musim 2007-08, ketika mereka hampir tersingkir ke Ligue 2 selepas menamatkan musim di tangga ke-16.
Pada musim berkenaan, skuad kendalian Paul Le Guen terpaksa menunggu sehingga perlawanan liga keenam untuk mencatat kemenangan pertama dan akhirnya hanya tiga mata mengatasi zon penyingkiran.
Namun, kali ini PSG sudah ketinggalan tujuh mata daripada pendahulu liga.
“Ini motivasi yang luar biasa buat pemain, pasukan dan kelab.
“Jika anda mahu bertaruh mengenai siapa yang akan menjadi juara pada penghujung musim, kita boleh buat pertaruhan itu. Tujuh mata? Baik, kami akan cuba mengejar defisit itu secepat mungkin,” kata Enrique.
© New Straits Times Press (M) Bhd

