Cameron Highlands : Nama Opah Strawberry sememangnya tidak asing lagi sebagai antara destinasi kulinari wajib singgah dalam kalangan pelancong di tempat peranginan tanah tinggi di sini.
Namun di sebalik keenakan dan kelembutan tekstur scone dihidangkan, tersimpan perjuangan seorang usahawan wanita Melayu yang sanggup terbang ke United Kingdom (UK) demi menimba ilmu pembuatan pastri ikonik berkenaan dari bumi asalnya.
Pengasasnya, Zamzam Zulaikha Abu Shah atau mesra dipanggil Kak Ika, percaya scone bukan sekadar hidangan biasa, sebaliknya melambangkan tradisi kulinari yang perlu dikuasai secara mendalam.
“Scone ialah warisan kulinari yang memerlukan pemahaman tepat terhadap teknik, rasa dan budayanya. Atas dasar itu, saya nekad menjelajah UK bersama dua kakitangan bagi mempelajari proses pembuatannya secara autentik,” katanya.
Kemuncak pengembaraan kulinari berkenaan menyaksikan Kak Ika menjalani latihan khas di Gordon Ramsay Academy, sebuah institusi kulinari terkemuka di UK.
Pengalaman berharga itu diperhalusi sebelum disesuaikan dengan cita rasa rakyat Malaysia, selain memastikan proses pembuatannya menepati piawaian halal yang ketat.
Sekembalinya ke tanah air, kepakaran serta teknik tradisional yang diperoleh terus diterapkan menerusi sajian di Opah Strawberry dan House of Scone.
Daripada sekadar kiosk kecil di ladang strawberi, Opah Strawberry kini berkembang pesat sebagai legasi perniagaan tempatan bertaraf antarabangsa.
Bagi Kak Ika, keberanian menimba ilmu di luar negara dibuktikan demi mengangkat standard kualiti makanan tempatan ke tahap lebih tinggi, sekali gus membuktikan usahawan Bumiputera mampu bersaing secara profesional.
© New Straits Times Press (M) Bhd
