Lelaki seludup 4,000 pokok Sentul, Ru Pantai nilai RM237,500 tumpas

Kota Bharu: Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup 4,750 anak pokok bernilai RM237,500 melalui operasi Ops Taring Wawasan Kelantan di Sekat Pintas Serongga, Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Dalam operasi jam 6.20 petang itu, anggota Kompeni C Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa, turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pemandu lori.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sebanyak 4,000 anak pokok sentul dan 750 anak pokok ru pantai dirampas selepas pihaknya memeriksa sebuah lori.

“Lelaki ditahan berasal dari Rantau Panjang dipercayai terlibat dalam aktiviti itu sejak kira-kira tiga bulan lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek mengaku bekerja sebagai pemandu kepada seorang lelaki warga Thailand yang dikenali sebagai “Mun” selain dipercayai menerima upah RM300 bagi setiap penghantaran anak pokok ke nurseri di sekitar negeri ini.

Ahmad Radzi berkata, keseluruhan anak pokok dan lori dirampas dianggar bernilai RM337,500 manakala kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top