Kuching: Sebanyak 54 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dan Tatau/Sebauh di Sarawak ditutup hingga 11 September ini susulan jerebu.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dalam kenyataan malam ini memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan berterusan dan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah tahap sangat tidak sihat pada 8 malam ini.
“Penutupan sementara 54 sekolah rendah membabitkan 22,476 pelajar dan sembilan sekolah menengah membabitkan 17,268 pelajar di bawah seliaan PPD Bintulu dan Tatau/Sebauh pada 7 hingga 11 September 2026,” menurut kenyataan itu.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Bintulu mencatat bacaan 206, iaitu sangat tidak sihat.
JPNS memaklumkan secara keseluruhan, sebanyak 617 sekolah rendah membabitkan 130,953 pelajar dan 93 sekolah menengah (107,350 pelajar) di bawah seliaan 14 PPD yang terjejas oleh fenomena jerebu rentas sempadan ditutup sementara.
Sehubungan dengan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan dilaksana sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut JPNS, sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan pihak sekolah diingatkan agar mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam mengutamakan kesihatan murid serta guru sepanjang masa.
Institusi pendidikan juga diingatkan agar peka dengan perkembangan semasa dengan merujuk kepada APIMS bagi memantau tahap IPU di kawasan atau daerah masing-masing dan mematuhi saranan Kementerian Kesihatan bagi menjamin kesihatan murid serta warga institusi berkenaan.
Semalam, Pengarah JPNS, Omar Mahli memaklumkan sebanyak 647 sekolah rendah dan menengah di Bumi Kenyalang ditutup sementara selama lima hari bermula Isnin ini susulan keadaan jerebu yang menyebabkan beberapa lokasi di negeri itu mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat.
Selain itu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut memperkenankan pengisytiharan darurat di seluruh Serian, Sarawak berikutan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara yang membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat setelah mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
