Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dilantik sebagai wakil khas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi menjaga hal ehwal masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Pelantikan itu diumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan EduCity, di sini, hari ini.
Menurut Onn Hafiz, pelantikan berkenaan mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan Marina akan bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Md. Israk Abdullah bagi menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli.
“Dengan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim, kita ada pegawai khas baharu iaitu Marina Ibrahim.
“Bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Md. Israk Abdullah, Marina akan menjaga kebajikan orang asli melalui Yayasan Sultan Ibrahim,” katanya, memetik Utusan Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail terhadap kebajikan masyarakat Orang Asli di negeri itu.
“Menjunjung kasih Tuanku kerana keprihatinan melantik pegawai khas mewakili Tuanku yang akan menjaga hal ehwal Orang Asli bagi pihak Tuanku sendiri.
“Saya tahu, sekali bekas wakil rakyat, Marina akan santuni permasalahan dihadapi masyarakat Orang Asli di negeri ini. Saya yakin dengan kemampuan dan pengalaman beliau. Mudah-mudahan kombinasi antara Md. Israk dan Marina akan beri lebih manfaat kepada golongan sasar,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Pada 31 Mei lalu, Marina mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Sumber: Utusan Malaysia (Khairul Mohd Ali)
