alagesh@nst.com.my
Kuantan: Sembilan peserta Cabaran Ketahanan Komander Kesatria (KKEC), termasuk seorang penuntut lelaki yang meninggal dunia semalam, mengalami kesukaran bernafas ketika acara duatlon pada 4 September.
Peserta terbabit, Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh, dekat sini jam 2.08 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai, berkata, dua peserta masih dirawat di ICU HoSHAS, manakala enam lagi dirawat di Hospital Jengka dan semuanya dilaporkan stabil.
Beliau berkata, siasatan mendapati sembilan penuntut terbabit terdiri daripada lima lelaki dan empat wanita, mengadu mengalami kesukaran bernafas ketika menyertai program itu di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Jengka jam 9.57 malam.
Katanya, semua penuntut berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Jengka untuk mendapatkan rawatan.
“Seorang penuntut lelaki dari UiTM Seremban, Negeri Sembilan berada dalam keadaan kritikal selepas paras oksigen turun mendadak, sebelum dirujuk ke HoSHAS.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di ICU hospital berkenaan, semalam.
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh dimaklumkan mengenai kematian penuntut itu oleh HoSHAS pada jam 5.50 petang, sebelum dimaklumkan kepada bilik gerakan IPD Maran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wong berkata, bedah siasat sudah dijalankan di Unit Forensik HoSHAS lewat malam semalam, namun hasilnya masih menunggu analisis makmal.
Dalam pada itu, Wong berkata, dua peserta lain turut dimasukkan ke ICU HoSHAS semalam selepas mengalami penurunan paras oksigen dan kini berada dalam keadaan stabil.
“Enam peserta lain menerima rawatan di Hospital Jengka.
“Mereka dalam keadaan stabil dan masih berada di bawah pemantauan,” katanya.
Wong berkata, siasatan mendapati kampus UiTM, Jengka menjadi tuan rumah bagi acara duatlon KKEC membabitkan 521 peserta dari cawangan UiTM di seluruh negara, kecuali Sarawak.
KKEC adalah pertandingan ketahanan fizikal dan mental tahunan yang merangkumi larian 8 kilometer (km), berbasikal 20 km, dan acara ketahanan berpasukan Mara Lasak sejauh 10km.
Fadhlan Fakhry, yang mewakili UiTM Negeri Sembilan adalah penuntut tahun akhir Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi.
Bapanya, yang menuntut jenazah di HosHAS hari ini, berkata Fadhlan Fakhry pernah menyertai dua edisi KKEC sebelum ini dan berada dalam keadaan sihat sebelum menyertai acara tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
