am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Polis membuka dua kertas siasatan susulan seorang kanak-kanak perempuan berusia hampir tiga tahun parah selepas dipercayai digigit lima ekor anjing liar di Kampung Tambak, Peserai, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pengabaian kanak-kanak) dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan (kecuaian berkenaan dengan haiwan).
Beliau berkata, siasatan dijalankan susulan polis menerima laporan daripada pihak hospital berhubung seorang kanak-kanak parah ketika menerima rawatan.
“Siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendapati kejadian dipercayai berlaku pada jam 7 pagi semalam di hadapan rumah keluarga mangsa di Peserai.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun 10 bulan berada di hadapan rumah, diserang sekumpulan anjing liar.
“Serangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan hampir seluruh badan. Mangsa pada awalnya dibawa ahli keluarga bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat.
“Namun, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Shahrulanuar berkata, keadaan mangsa ketika ini dilaporkan stabil dan polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
Dalam kejadian itu, Nur Haira Watikah Mohammad Hamizi, ditemui dalam keadaan terbaring dengan koyakan di kepala dan muka selepas diserang anjing liar di hadapan rumah neneknya.
Mangsa dihantar ibu bapanya ke rumah neneknya, Darlinda Darlis, 56, memandangkan cuti sekolah, selain abang dan kakaknya turut berada di rumah itu.
Kejadian disedari neneknya selepas mendapati Nur Haira Watikah tiada, manakala pintu gelangsar sedikit terbuka.
Wanita terbabit keluar mencarinya sebelum melihat lima anjing mengerumuni kanak-kanak itu dengan tubuh berlumuran darah.
© New Straits Times Press (M) Bhd
