Bomba guna helikopter jejak 6 individu hilang selepas memasuki hutan di Gua Musang

razis@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu membabitkan empat sekeluarga dan dua malim gunung yang dikhuatiri hilang selepas memasuki hutan di Gua Musang akan dimulakan esok dengan bantuan helikopter.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, helikopter akan digunakan bagi mengesan mangsa serta menjejak laluan yang dipercayai digunakan kumpulan terbabit.

“Helikopter itu dijadualkan diterbangkan dari Sungai Siput, Perak pada sebelah pagi. Ia akan melakukan tinjauan di beberapa lokasi yang disyaki lokasi mangsa berada.

“Kami sudah menubuhkan pasukan SAR dan operasi akan dimulakan esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba kini sudah berada di kawasan sekitar Gerik, Perak, yang dipercayai menjadi laluan keluar kumpulan berkenaan.

“Pasukan itu akan berkumpul malam ini bagi merancang gerak kerja serta menentukan kawasan pencarian.

“Operasi ini turut dibantu kumpulan malim gunung yang sudah berada di lokasi bagi mengenal pasti dan menandakan kawasan yang dipercayai dilalui mangsa,” katanya.

Terdahulu, media hari ini melaporkan, enam individu dikhuatiri hilang selepas memasuki kawasan hutan melalui Pos Dakoh, Lojing, Gua Musang, 29 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan itu daripada ahli keluarga kumpulan berkenaan di Selangor selepas mereka gagal keluar dari hutan mengikut jadual pada 3 September.

Menurutnya, semakan bersama Jabatan Perhutanan mendapati, hubungan terakhir menunjukkan kumpulan itu sudah berada di kawasan hutan Perak sebelum terputus hubungan.

Kumpulan itu memiliki permit memasuki hutan dan dijadualkan keluar melalui Pos Kemar, Perak, manakala polis Gua Musang bersiap sedia sekiranya menerima pengesahan bahawa mereka berada di kawasan Kelantan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top