am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membayangkan fenomena `gelombang biru; menerusi persefahaman politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang berlaku di Johor dan Negeri Sembilan sebelum ini, mampu berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN itu berkata keyakinan berkenaan bersandarkan sokongan anak muda dan keseluruhan pengundi Melaka yang disifatkannya kini berada dalam mood gelombang biru.
“Apabila tiba hari besar yang menentukan masa depan Melaka, jangan lupa bahawa gelombang biru yang pernah berlaku di Johor, berlaku di Negeri Sembilan, insya-Allah gelombang biru itu akan berada di Melaka juga,” katanya ketika menutup Karnival Anak Muda Melaka X Jom Heboh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN bagaimanapun menyerahkan kepada Ab Rauf untuk berunding dengan mana-mana gabungan parti yang berminat bersama dalam PRN itu.
“Datuk Rauf, saya beri mandat, runding elok-elok. Pilih ‘partner’ (rakan kerjasama) yang taat setia, pilih partner yang boleh memberikan kemenangan kepada kita.
“Pilih partner yang ikhlas dan jujur dengan kita. Pilih partner yang bercakap di belakang sama di depan sama, bukan partner yang cakap depan buat lain, belakang buat lain.
“Datuk Rauf, berunding elok-elok, jaga hati orang Melaka. Jangan kurang daripada 21 kerusi. Yang tujuh kerusi lagi, tak apa, kita serahkan kepada mereka,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut mengingatkan supaya rundingan berkenaan mengambil kira kepentingan rakyat Melaka dan memastikan kekuatan BN terus dipertahankan.
Beliau turut meminta Ab Rauf supaya tidak menangguh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Gunakanlah sokongan daripada anak-anak muda ini untuk terus menstabilkan politik negeri Melaka. Berikanlah peluang pada mereka.
“Cepat-cepatlah umum (bubar DUN). Jangan tunggu lewat, lebih cepat lebih baik. Anak-anak muda sudah bersedia,” katanya.
Ahmad Zahid turut meminta rakyat Melaka supaya yakin dengan keputusan yang bakal dibuat berhubung persefahaman politik pada PRN Melaka.
“Saya melihat Dr Akmal (Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh) menawarkan diri untuk tidak bertanding jika bersama dengan pihak sana. Tetapi jangan risau, Dr Akmal, ‘abang’ tahu apa yang akan berlaku.
“Abang tahu suara anak muda Melaka mahukan siapa. Saya tahu pengundi Melaka mahu kita bekerjasama dengan siapa. Tiba masanya nanti, saya tahu keputusan terbaik yang akan saya buat demi kepentingan Melaka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
