am@hmetro.com.my
Baling: Seorang pendaki pengsan manakala dua lagi sesat ketika dalam perjalanan ke puncak gunung di Lata Debu, di sini, pagi tadi untuk melihat suasana pemandangan indah di kawasan berkenaan.
Wanita pengsan berusia 29 tahun dan dua pendaki termasuk seorang lelaki berusia 20-an itu berjaya diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sejurus menerima laporan mengenai mereka itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.28 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari BBP Baling yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mat Zuki Mat Noh bersama tujuh anggota tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Berdasarkan maklumat diterima, mereka adalah antara 18 pendaki yang naik ke gunung berkenaan disebabkan kawasan itu kini menjadi tumpuan kerana pemandangannya cantik.
“Namun kami membantu pendaki wanita yang pening sebelum pengsan itu terlebih dahulu dan membawanya ke bawah gunung sebelum membantu mencari dua pendaki tersesat.
“Pendaki lelaki dan wanita itu menghantar lokasi mereka berada dan anggota bomba terpaksa mendaki 2.5 kilometer sebelum mereka akhirnya berjaya diselamatkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, pihaknya terpaksa membawa ketiga-tiganya keluar awal disebabkan faktor cuaca gelap dan risiko berlakunya kepala air di kawasan itu.
Katanya, anggota pasukan mengambil mangsa hampir lima jam membawa mereka turun dengan dibantu orang awam.
“Kerja-kerja menyelamat dilakukan berhati-hati kerana laluan di situ berbahaya.
“Cabaran utama kawasan lata itu adalah disebabkan permukaan batu licin, melintasi anak-anak sungai, meredah hutan renek dan kedudukan mangsa hampir puncak.
“Operasi turut dibantu pasukan polis dan penduduk kampung,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
