Jakarta kini berdebu, berhabuk 'angkara' letusan Anak Krakatau

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kesan letusan Anak Krakatau yang menyebabkan abu gunung berapi itu merebak ke beberapa kawasan di Indonesia turut dirasai rakyat Malaysia yang berada di Jakarta.

Mereka turut mengalami rasa tidak selesa termasuk pedih mata dan sakit tekak.

Sudirman Tahir, 40, berkata, keadaan di Jakarta ketika ini berdebu dan berhabuk tebal menyebabkan dia berasa kurang selesa hinggakan matanya turut pedih.

“Saya turut menggunakan pelitup muka seperti disarankan pihak berkuasa Indonesia. Ketika ini, debu juga terlalu tebal.

“Saya dapati, kereta yang diparkir di hadapan hotel juga semuanya berdebu, warnanya seperti kelabu dan warna tanah.

“Situasi di sini tidak seteruk seperti di lokasi lain dan boleh dikatakan mungkin hanya sedikit sahaja, tetapi keadaannya tetap kurang selesa. Hari ini, saya banyak menghabiskan masa dengan duduk di hotel saja,” katanya dihubungi, hari ini.

Menurut Sudirman, dia yang tiba di Indonesia pada Jumaat lalu sepatutnya pulang ke Malaysia jam 6.55 petang ini, namun dimaklumkan menerusi emel tengah hari tadi bahawa penerbangan pulang dibatalkan.

“Mereka memaklumkan penerbangan pulang dijadualkan pada Selasa ini, namun saya cuba juga cari alternatif lain kerana kalau boleh, saya mahu pulang esok.

“Saya harap keadaan segera pulih dan semua warga Malaysia yang terkandas di Indonesia dapat segera pulang ke tanah air, tidak terlalu lama terkandas di sini kerana ia akan membabitkan kos juga,” katanya.

Sementara itu, seorang pengguna Threads dikenali sebagai ‘ainulnunanaa’ turut berkongsi situasi sama di hantarannya yang memaklumkan keadaan di republik berkenaan ketika ini berhabuk.

“Pergi makan duduk seat (tempat duduk) luar ada habuk tebal atas meja. Staff (pekerja) cakap dah (sudah) banyak kali lap tapi masih tebal. Dekat tangan berbau belerang. Berhabuk dan sesakkan tekak.

“Kesan erupsi (letusan) gunung yang beratus kilo (kilometer) jauhnya sampai ke sini ya (Jakarta),” tulisnya.

Wanita itu juga berkongsi dia dan rakan sudah mula rasa sakit tekak dan tidak selesa pada mata.

Terdahulu, media melaporkan, letusan berterusan Anak Krakatau sejak Jumaat lalu menyebabkan abu vulkanik tersebar sehingga menyebabkan enam lapangan terbang menggantung operasi penerbangan.

Gangguan itu turut menjejaskan operasi penerbangan domestik dan antarabangsa termasuk laluan menghubungkan Jakarta dengan Kuala Lumpur, Singapura, Hong Kong, Sydney, Seoul/Incheon, Doha dan Amsterdam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top