KUALA LUMPUR – Taktikal dan misi utama dalam kerjasama politik antara UMNO dan Pas nampaknya semakin terserlah baru-baru ini apabila masing-masing sedang mencatur pergerakan politik untuk kepentingan masing-masing.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi berkata, ia selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menjelaskan, bubar Parlimen awal untuk mengadakan PRU16 adalah lebih baik dan Pas pula kedengaran mahu menjadi Perdana Menteri ke-11 selepas PRU akan datang.
“Di sini, kita nampak bahawa sebagai sebahagian daripada Kerajaan Madani, UMNO akan memberikan tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan PRU16 lebih awal agar Pas mampu untuk menjadi perdana menteri sementara sentimen penyatuan ummah dan perpaduan Melayu masih terkesan kepada masyarakat.
“Untuk UMNO pula, isu rasuah mungkin ‘selamat’ kerana Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah menjelaskan, isu rasuah di Malaysia digunakan bagi memburukkan lawan politiknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Pas Pusat menuduh kerajaan mengambil tindakan secara terpilih dalam usaha membanteras rasuah.
Abdul Hadi mendakwa isu rasuah di Malaysia digunakan bagi memburukkan lawan politiknya manakala sekutu pihak berkuasa pula didakwa terlepas daripada tuntutan keadilan.
Abdul Hadi turut mengakui, Pas mempunyai calon perdana menteri daripada parti itu bagi menghadapi PRU16, namun belum tiba masanya untuk mendedahkan individu berkenaan dengan penentuan calon perdana menteri hanya akan dibuat selepas melihat kekuatan kerusi yang dimenangi parti-parti bertanding.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengambil pendirian, adalah lebih baik PRU16 diadakan lebih awal, iaitu sebelum menghampiri tempoh penggal Parlimen yang sepatutnya berakhir pada hujung tahun depan.
Ujar Ahmad Zahid, langkah sedemikian akan membolehkan mandat mentadbir Kerajaan Persekutuan dapat diperoleh kembali daripada rakyat.
Mengulas lanjut, Muhammad Iman Haziq berkata, Pas sememangnya layak untuk menjadi perdana menteri selepas PRU yang akan datang kerana bakal memperoleh lebih banyak kerusi daripada UMNO dengan gabungan tersebut dijangka mampu untuk mencapai majoriti mudah 112 kerusi.
“Tidak mengapa juga untuk UMNO melepaskan kerusi perdana menteri kepada Pas asalkan ramai pimpinan UMNO yang sekarang ini sedang turun naik mahkamah kerana didakwa kes rasuah boleh terlepas kerana menurut Pas, rasuah bukan suatu jenayah,” jelasnya. – Awani

