Kementerian Ekonomi akan teliti mekanisme tingkatkan ketelusan tawaran gaji

bisnes@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Ekonomi akan meneliti mekanisme bagi meningkatkan ketelusan tawaran gaji dalam usaha memastikan pertumbuhan ekonomi negara diterjemahkan kepada pulangan lebih adil dan setimpal kepada pekerja.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, antara perkara yang akan dibawa untuk penelitian kementerian adalah kaedah memperkukuh ketelusan dalam penawaran gaji, termasuk menangani jurang pendapatan yang masih wujud, khususnya dalam kalangan Bumiputera.

Beliau berkata, pendekatan itu bukan bertujuan menetapkan satu kadar gaji secara mutlak, sebaliknya memastikan pekerja mempunyai akses kepada maklumat lebih jelas bagi menentukan sama ada tawaran diterima setimpal dengan kelayakan dan kemahiran mereka.

“Hasrat kita adalah untuk terus memastikan pertumbuhan ekonomi ini dapat dirasai oleh rakyat, termasuk menerusi pertumbuhan gaji.

“Dari segi gaji median, kita berada sekitar RM3,600, tetapi jurang itu memang masih ada, terutamanya dalam kalangan Bumiputera,” katanya selepas sesi meja bulat Forum Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat Bumiputera, di sini, hari ini.

Akmal berkata, kerajaan turut melihat keperluan meningkatkan bahagian pampasan pekerja dalam ekonomi bagi memastikan pulangan kepada tenaga kerja dapat dipertingkatkan seiring pertumbuhan ekonomi negara.

“Ini termasuk melihat kepada ketelusan gaji supaya tawaran gaji dapat dibuat dengan lebih telus dan adil. Itu antara perkara yang akan saya bawa kembali ke Kementerian Ekonomi,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu menangani isu pemampatan gaji apabila kenaikan gaji minimum tidak semestinya diikuti peningkatan setimpal terhadap gaji pekerja dalam kategori lain, termasuk pemegang diploma dan ijazah.

Akmal berkata, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 ketika ini adalah peningkatan ketara berbanding kadar awal pelaksanaannya sekitar sedekad lalu namun perbincangan mengenai struktur dan peningkatan gaji perlu diteruskan secara berkala.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan graduan mempunyai laluan kepada pekerjaan yang menawarkan pendapatan lebih tinggi termasuk melalui peningkatan penyertaan dalam industri berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, lebih ramai anak Bumiputera juga perlu digalakkan memilih bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi membolehkan mereka merebut peluang pekerjaan dalam sektor bernilai tinggi.

Pada masa sama, katanya, isu ketidaksamaan peluang perlu diberi perhatian, khususnya bagi memastikan golongan muda dan mereka yang baharu memasuki pasaran buruh mempunyai akses kepada pekerjaan lebih baik serta menerima pulangan setimpal.

“Cabaran mereka ketika memohon pekerjaan adalah gaji tidak semestinya boleh dirundingkan. Kadangkala tawaran yang diberikan adalah ‘take it or leave it’, sedangkan pekerja sendiri sukar untuk membuat perbandingan,” katanya.

Mengulas kadar gaji yang bersesuaian, Akmal berkata, penawaran gaji perlu mengambil kira keperluan perbelanjaan pekerja berdasarkan indikator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW), termasuk perbezaan kos sara hidup mengikut lokasi dan jumlah isi rumah.

Katanya, isu gaji perlu dilihat secara menyeluruh dengan mengambil kira peranan kerajaan, majikan dan pekerja, manakala pelbagai inisiatif seperti gaji minimum dan Dasar Gaji Progresif terus dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan pekerja tanpa menjejaskan ekonomi secara ketara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top