Polis buru 10 lelaki bantu siasatan kes bunuh, gaduh di Shah Alam

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis memburu 10 individu yang dipercayai terbabit dalam dua kes pergaduhan berkumpulan di sini, bulan lalu, yang satu daripadanya mengakibatkan kematian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua lelaki tempatan berusia 23 hingga 46 tahun itu dikesan bagi membantu siasatan dua kes berasingan yang berlaku di Alam Megah pada 25 Ogos, serta Taman Sri Muda pada 14 Ogos lalu.

Beliau berkata, dalam kes pergaduhan berkumpulan di Alam Megah, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun maut dan mangsa disahkan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Dalam kes di Taman Sri Muda, seorang lelaki tempatan parah selepas diserang dua lelaki menggunakan parang serta diancam pergaduhan berkumpulan dengan senjata tajam atau objek seperti senjata api,” katanya katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, susulan kejadian, polis menahan 21 lelaki warga tempatan berusia antara 23 hingga 46 tahun menerusi beberapa siri serbuan dan tangkapan di Shah Alam; Klang; Muar dan Iskandar Puteri, Johor, antara 14 hingga 28 Ogos lalu.

“Hasil semakan rekod mendapati beberapa suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau dan kesalahan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, Shazeli berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek bagi dua kes berkenaan mempunyai kaitan dengan unsur gangsterism namun tidak membabitkan kumpulan sama.

Sehubungan itu, pihaknya memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai 10 suspek yang masih lagi bebas bagi kedua-dua kes ini, untuk tampil membantu siasatan.

Beliau berkata, bagi kes di Alam Megah, siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK), manakala untuk kes di Taman Sri Muda, ia disiasat mengikut Seksyen 148 KK.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top