Ketua Penolong Pengarah stesen televisyen tempatan dipenjara 6 bulan, didenda RM20,000

Kuala Lumpur. Seorang ketua penolong pengarah sebuah stesen televisyen tempatan didenda RM20,000 dan penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan menerima wang berjumlah RM28,000, tujuh tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Suhaila Md Zaini, 47, selepas mendapati wanita terbabit bersalah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima bayaran RM10,000 daripada sebuah syarikat pada 9 Julai 2019.

Tertuduh turut didakwa menerima wang tunai RM18,000 daripada seorang individu antara 17 April 2019 hingga 5 Jun 2019, tanpa balasan yang diketahuinya mempunyai kaitan dengan tugas rasminya sebagai penerbit rancangan di sebuah stesen televisyen tempatan.

Hakim Mohd Nasir dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh bahawa RM10,000 itu adalah pinjaman merupakan pembelaan terkemudian kerana pembayaran balik hanya dibuat selepas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober 2019.

Mahkamah turut mendapati penggunaan akaun pihak ketiga bagi pembayaran wang menunjukkan tertuduh cuba menyembunyikan kesalahan, manakala pembelaan bahawa RM18,000 digunakan bagi perbelanjaan dan pembayaran program di sebuah stesen televisyen tempatan ditolak kerana tidak material bagi pertuduhan berkenaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman dan menaikkan wang jaminan kepada RM10,000 sementara menunggu proses rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top