Ipoh: Enam individu termasuk dua kanak-kanak yang dilaporkan hilang ketika merentasi laluan Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang berjaya dihubungi dan memaklumkan mereka berada dalam keadaan selamat, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Abdul Samad Othman berkata pihaknya menerima maklumat tentang keadaan kumpulan berkenaan kira-kira 5.30 petang tadi selepas ahli keluarga berjaya menghubungi seorang daripada malim gunung yang menyertai kumpulan tersebut.
“Kita cuma boleh sahkan mangsa sudah dapat dihubungi, mereka memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa mereka dalam keadaan selamat.
“Bagaimanapun, kita belum jumpa mangsa lagi sebab mereka masih berada di lokasi pendakian dan pasukan penyelamat akan bergerak untuk bertemu dengan mereka sebelum membawa keluar sama ada hari ini atau esok. Mereka dipercayai berada dalam kawasan Perak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata keadaan sebenar semua mangsa termasuk kemungkinan ada antara mereka yang mengalami kecederaan masih belum dapat disahkan sehingga pasukan penyelamat berjaya menemukan mereka.
Abdul Samad berkata kaedah membawa keluar kumpulan berkenaan sama ada melalui jalan darat atau udara akan ditentukan berdasarkan keadaan dan lokasi mereka selepas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya bertemu dengan mangsa.
“Proses SAR hanya akan tamat selepas semua mangsa berjaya dibawa turun,” katanya.
Sebelum ini, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, dan isteri Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dilaporkan hilang selepas mendaki gunung itu pada 29 Ogos.
Mereka dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 September dan ahli keluarga membuat laporan polis semalam.
Berita berkaitan:
‘Saya bimbang ada yang cedera, jika tiada bantuan sukar untuk mereka keluar’ – Bapa
Trans GBB: Polis seru orang ramai salur maklumat keberadaan enam individu hilang
MGP pecah dua kumpulan, susur laluan berbeza cari 6 pendaki
SAR enam individu hilang di Gunung Gerah: Bomba laksana melalui tinjauan udara
Dua malim gunung ‘hilang’ di Trans GBB berpengalaman lebih 20 tahun
Kanak-kanak 9 tahun antara 6 hilang dalam pendakian Trans GBB
6 hilang di gunung Gua Musang mungkin tempuh laluan sukar – malim gunung
© New Straits Times Press (M) Bhd

