sukan@hmetro.com.my
Seremban: Lebih RM6 juta dibelanjakan bagi menaik taraf sebahagian kemudahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, sebagai sebahagian daripada usaha menyediakan kemudahan sukan bertaraf antarabangsa sekali gus memacu kecemerlangan sukan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mustapha Nagoor, berkata projek itu mendapat bantuan dan sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta kerajaan negeri.
Katanya, ia membabitkan kerja mengecat bangunan, ubah suai bilik persalinan pemain, naik taraf tandas penonton dan pemasangan lampu limpah baharu.
“Setakat ini kerja mengecat bangunan dan ubah suai bilik persalinan telah siap dan boleh digunakan manakala pemasangan lampu limpah baharu akan siap pada Mac tahun depan sementara naik taraf tandas sedang dilakukan.
“Pihak pengendali stadium menerima peruntukan sebanyak RM4.3 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan bagi pemasangan lampu limpah manakala lebih RM500,000 diterima daripada kementerian itu untuk kerja mengecat.
“Sebanyak RM650,000 pula diterima daripada Majlis Bandaraya Seremban untuk ubah suai tandas dan RM615,000 digunakan untuk naik taraf bilik persalinan daripada peruntukan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kerja-Kerja Menaik Taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, lewat petang tadi.
Dalam pada itu, beliau menggesa skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) membuktikan mereka bukan sahaja memiliki reputasi tetapi kualiti yang perlu ditunjukkan kepada penyokong ketika turun melayani kunjungan Kelantan City FC, pada aksi timbal balik Pusingan 16 Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, petang esok.
“Pemain kena sedar, perlawanan petang esok akan menentukan nasib pasukan dalam saingan Piala FA musim ini. Jangan sesekali malukan diri sendiri kerana mereka hanya berdepan dengan pasukan dari Liga A1,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
