am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat laporan yang mendakwa Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Awang, pernah ditawarkan kerjasama oleh Amerika Syarikat (AS) untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.
Setakat ini, sebanyak 12 laporan polis diterima mengenai isu ini, dan seramai 12 orang saksi dirakam percakapan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, siasatan juga turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan berkaitan kenyataan yang boleh menyebabkan kegusaran awam dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, dengan hukuman jika sabit kesalahan berupa denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
“Rakaman percakapan Hadi akan diambil dalam tempoh terdekat bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
M Kumar berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan, selain menggunakan platform media sosial secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman serta keselamatan awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd


