Warga Rohingya tanpa dokumen sah tetap PATI – JIM

nurul_husna@mediaprima com.my

Kuala Lumpur: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan mengeluarkan kenyataan bahawa warga Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCHR) adalah bukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ini merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Imigresen mengenai status warga Rohingya yang memiliki kad UNHCRdalam satu laporan media, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mana-mana warga Rohingya tanpa dokumen yang sah tetap dikategorikan sebagai PATI mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Faktanya, pelarian yang memiliki kad UNHCR yang sah masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka boleh diambil tindakan seperti PATI sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah.

“Majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran yang sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut kenyataan sama, pengecualian hanya membabitkan dua kesalahan di bawah Akta Imigresen, iaitu kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa.

Pengecualian terhadap kedua-dua kesalahan ini tidak bermaksud pemegang kad UNHCR dikecualikan daripada pematuhan terhadap peruntukan lain di bawah Akta Imigresen.

Tambah Zakaria, pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan berdasarkan dasar Kerajaan yang diselaraskan menerusi Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka, serta Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka.

Beliau berkata, ia dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dalam hal ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka yang berada di negara ini melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).

“Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan Kerajaan mempunyai data yang lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia.

“Sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian ini adalah tertakluk dasar yang ditentukan oleh MKN melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka,” katanya.

Menurut kenyataan sama, JIM menegaskankekal komited melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen secara tegas dan berlandaskan undang-undang serta dasar yang ditetapkan Kerajaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top