am@hmetro.com.my
Arau: Penyatuan dan kerjasama politik antara PAS dan UMNO boleh dicapai sekiranya dua parti terbesar pengundi Melayu itu mampu bertolak ansur dalam isu agihan kerusi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin berkata, kerjasama semula antara PAS dan UMNO bukan sesuatu yang baru kerana ia pernah dilaksanakan sebelum ini, malah rakyat terutamanya pengundi Melayu mahu ia diteruskan ketika ini.
Beliau berkata, penyatuan itu dapat direalisasikan sekiranya cabaran berkaitan agihan kerusi PRU16 dapat diselesaikan secara muafakat antara kedua-dua pihak melalui keikhlasan dan kesediaan untuk berkorban.
“Saya melihat soal pengagihan kerusi itu tidak akan menjadi masalah dengan apa yang penting, kedua-dua parti perlu ikhlas dalam kerjasama tersebut selain bersedia berkorban.
“PAS dalam kerjasama sebelum ini juga sudah banyak berkorban dan kesannya kini, kita semakin dekat untuk memimpin. Ruang penyatuan antara PAS dan UMNO sudah terbentang luas, kita hanya perlu menyuburkan sahaja kerjasama itu.
“Saya juga yakin, rakyat sudah lama menanti untuk melihat kerjasama dua parti politik terbesar Melayu Islam itu. Suasana politik semasa sememangnya memerlukan PAS dan UMNO bersama,” katanya ditemui di sini, semalam.
Terdahulu, Muktamar Tahunan PAS Ke-72 di Kelantan pada Sabtu lalu menjadikan penyatuan ummah sebagai agenda utama mendepani PRU16, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa parti itu mahu memperkukuhkan kerjasama politik berteraskan Melayu-Islam.
Majlis Ulama UMNO turut menyuarakan pendirian mahu kerjasama antara parti itu dengan PAS dimeterai secara rasmi dan lebih kukuh bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini, bertegas mahu PAS mempertahankan kerusi yang dimenangi parti itu pada pilihan raya lalu.
Menteri Besar Kedah itu berkata, tindakan memberi kerusi yang berpotensi dimenangi oleh PAS kepada pihak lain, manakala mengambil kerusi yang berisiko kalah, dianggap sebagai tindakan yang ‘ikhlas dan bodoh’.
Sementara itu, mengulas isu kemelut dalaman PAS di Perlis, Hashim menasihatkan supaya perkara berkenaan dapat diselesaikan dengan kadar segera.
“Nak selesai atau jernihkan isu di Perlis, PAS Pusat kena melihat punca sebenar (masalah) di Perlis ini berlaku.
“Perkara ini sudah lama dibangkitkan dan diharap mendapat perhatian Pusat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

