Jangan anggap pemberian RM400 mampu selesaikan masalah pekebun kecil – PM Anwar

Jangan anggap pemberian RM400 mampu selesaikan masalah pekebun kecil – PM Anwar

Kerajaan tidak menganggap pemberian bantuan tunai RM400 sebulan kepada pekebun kecil sebagai penyelesaian sepenuhnya terhadap cabaran yang dihadapi golongan berkenaan.

Jangan anggap pemberian RM400 mampu selesaikan masalah pekebun kecil – PM Anwar

Memetik laporan MalaysiaGazette, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan kerajaan perlu sentiasa mengambil kira suara dan keperluan rakyat di peringkat akar umbi, lebih-lebih lagi apabila keadaan ekonomi serta kos kehidupan terus berubah.

Menurut beliau, bantuan yang disalurkan ketika ini merupakan sebahagian daripada langkah lebih menyeluruh bagi memperkukuh kedudukan dan kebajikan pekebun kecil, bukannya satu-satunya bentuk penyelesaian.

“Kalau wakil pekebun kerja tanya saya, cukup? Tentu dia jawab, tak cukup dan saya akui,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, sehingga September 2026, kira-kira 270,000 pekebun kecil yang terdiri daripada pengusaha kecil sawit, getah, lada dan kenaf telah menerima bantuan Budi Agri-Komoditi sebanyak RM400 sebulan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan aspek penyampaian bantuan perlu diberi perhatian supaya manfaat berkenaan benar-benar diterima oleh golongan yang layak, selain memastikan mereka memahami bentuk bantuan yang disediakan kerajaan.

“Kerajaan perlu memastikan bantuan tersebut benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran dan difahami oleh penerima,” jelasnya.

Beliau berkata, antara cabaran yang masih berlaku adalah penyampaian maklumat berkaitan bantuan kerajaan yang kurang jelas sehingga menyebabkan sebahagian rakyat tidak mengetahui hak atau bantuan yang boleh mereka terima.

“Sekurang-kurangnya dia tahu. Jangan dia kata belum dapat apa-apa,” ujarnya.

Pada masa sama, Anwar berkata kerajaan terus memperkukuh sektor komoditi melalui beberapa bentuk sokongan, antaranya insentif getah, bantuan penanaman semula sawit, pembiayaan mudah serta kerja penyelenggaraan jalan ladang.

Katanya, pelbagai inisiatif itu membuktikan kerajaan terus mengambil tindakan terhadap isu yang membelenggu pekebun kecil dan tidak membiarkan mereka berdepan cabaran berkenaan sendirian.

“Pendekatan tersebut menunjukkan kerajaan tidak berdiam diri terhadap masalah pekebun kecil,” ujarnya.

Artikel lain: BUDI95: Nelayan kecil, pekebun tiada lesen memandu boleh kemuka rayuan -PM Anwar

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, sebarang tuntutan untuk menambah jumlah bantuan juga perlu mengambil kira kedudukan kewangan dan tekanan terhadap ekonomi negara, khususnya susulan perkembangan geopolitik serta peningkatan harga minyak dunia.

“Cuma kita kena faham juga keadaan ekonomi sekarang ini,” tambahnya lagi.

Sumber: MalaysiaGazette (Nizam Zain)

Scroll to Top