Moscow: Seramai 11 pendaki maut, manakala enam lagi masih hilang dalam runtuhan salji di salah satu gunung tertinggi di Rusia, menurut perkhidmatan menyelamat pada Isnin.
Pasukan penyelamat menerima laporan mengenai runtuhan salji di Gunung Mizhirgi yang berketinggian kira-kira 5,000 meter pada jam 5 petang (1400 GMT) Ahad.
Satu rakaman video yang tular di media sosial namun belum disahkan, memaparkan timbunan salji dan ais yang besar runtuh menuruni lereng gunung di kawasan berkenaan, sambil kedengaran suara orang ramai yang cemas.
“Tragiknya 11 mangsa disahkan maut, manakala nasib enam lagi pendaki masih belum diketahui,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kecemasan Rusia cawangan tempatan.
Kenyataan itu menambah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini berdepan kesukaran berikutan faktor bentuk muka bumi yang mencabar serta risiko berlakunya runtuhan salji susulan.
Difahamkan, seramai 33 pendaki berada di kawasan berkenaan ketika kejadian berlaku dan Kementerian Kecemasan menyatakan 10 pendaki berjaya menyelamatkan diri, manakala enam lagi dibawa keluar oleh pasukan penyelamat.
Dalam pada itu, pihak pendakwa raya sudah membuka kertas siasatan di bawah klasifikasi kecuaian jenayah.
Gunung Mizhirgi yang terletak berhampiran sempadan Georgia adalah gunung kelapan tertinggi di Rusia.
Kawasan tersebut yang dikelilingi hutan dara dan glasier menjadi destinasi popular dalam kalangan peminat aktiviti pendakian.
© New Straits Times Press (M) Bhd
