Jakarta: Lima petugas media Indonesia dilaporkan terputus hubungan ketika membuat liputan mengenai aktiviti letusan Gunung Anak Krakatau di sekitar Pulau Sebesi, Lampung, selatan Sumatera, tidak jauh dari gunung berapi itu, hari ini.
Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat (SAR) Banten Al Amrad berkata pasukan SAR gabungan masih menjalankan operasi pencarian secara intensif bagi mengesan kesemua petugas media berkenaan.
“Sehingga kini, pasukan SAR masih mencari kelima-lima petugas media yang terputus hubungan. Sehingga malam ini, belum ada maklumat mengenai penemuan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lima petugas media itu ialah Muhammad Bagus Khoirunnas dari agensi berita nasional Indonesia, Antara; Arie Basuki dari portal berita Merdeka.com; Yudistiro Pranoto dari iNews; Firdaus Wajidi dari agensi berita Turkiye, Anadolu Agency; serta Donal Husni, seorang wartawan bebas.
Selain lima petugas media itu, tiga kru kapal turut tidak dapat dihubungi iaitu Warta, 55; Surakman, 60; dan Heriyanto, 49, menjadikan keseluruhan lapan orang di dalam bot berkenaan.
Mereka dilaporkan bertolak dari Anyer di Banten, hujung barat Pulau Jawa, pada Isnin dengan menaiki bot laju menuju ke kawasan Krakatau bagi membuat liputan mengenai aktiviti letusan gunung berapi itu.
Gunung Anak Krakatau terletak di Selat Sunda antara Pulau Jawa dan Sumatera dan sejak beberapa hari lalu mengalami siri letusan yang menyebabkan abu gunung berapi tersebar ke beberapa kawasan di barat Indonesia serta mengganggu operasi penerbangan.
Menurut maklumat terkini, Al Amrad berkata komunikasi terakhir dengan rombongan itu dibuat menerusi Muhammad Bagus, jurugambar Antara Biro Banten, kira-kira 4 petang semalam sebelum mereka tidak lagi dapat dihubungi.
Susulan itu, beliau berkata Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) mengerahkan pasukan ke Pulau Sebesi dan kawasan Gunung Anak Krakatau dalam operasi pencarian hari ini.
Katanya pasukan SAR menjalankan pencarian di beberapa lokasi termasuk perairan dan daratan Pulau Sebesi serta kawasan sekitar Gunung Anak Krakatau bagi mengesan sebarang jejak atau petunjuk mengenai lokasi kelima-lima petugas media berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
