am@hmetro.com.my
Georgetown: Seramai 11 lelaki disyaki terbabit dalam kes rusuhan bersenjata membabitkan dua kumpulan Geng 04 di Ayer Itam di sini, pada 29 Ogos lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret esok.
Seorang daripadanya lelaki berusia 19 tahun, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sementara 10 lagi suspek berusia 19 hingga 34 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan bersenjatakan senjata atau benda yang digunakan sebagai senjata.
Difahamkan, semua mereka terdiri daripada pemborong sayur, pelayan restoran, penganggur, pembantu kedai serta penghantar barang.
Pada 4 September lalu, media melaporkan seramai 10 lagi lelaki tempatan ditahan susulan siasatan kes merusuh menggunakan senjata membabitkan dua kumpulan Geng 04 di hadapan SJK (C) Kong Min Cawangan Kedua, Ayer Itam pada 29 Ogos lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, dilaporkan berkata semua suspek ditahan dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Selangor bermula 30 Ogos hingga 4 September lalu.
Perkembangan itu menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 23 orang.
Difahamkan, dua mangsa masing-masing berusia 25 dan 17 tahun cedera dalam kejadian berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
