am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Baru dua hari anak saya (Dr Ainul) kembali ke Sarawak selepas pulang bercuti di Kelantan selama seminggu, hari ini kami mendapat berita helikopter dinaikinya terhempas dan meninggal dunia.”
Demikian luahan Kamaruddin Salleh, 69, iaitu bapa kepada Dr Ainul Baraah, 32, iaitu salah seorang penumpang helikopter yang dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di sini, petang tadi.
Katanya, Dr Ainul yang juga anak keempat daripada lima beradik itu baru berkhidmat sebagai doktor secara tetap kira-kira dua tahun dan bertugas di Hospital di Miri.
“Pada mulanya saya menerima panggilan daripada besan yang memaklumkan helikopter dinaikinya terhempas dan masih tidak tahu keadaannya. Selepas itu saya menerima panggilan kali kedua memaklumkan anak saya meninggal dunia.
“Isteri, Rogayah Mohd Noor, 69, sebaik menerima berita itu sangat terkejut dan kami sendiri tidak mampu berkata-kata. Disebabkan itu saya dan isteri belum lagi pergi ke Sarawak memandangkan keadaan isteri dalam keadaan tidak baik kerana terkejut selain mempunyai penyakit.
“Setakat ini, anak-anak selain keluarga besan berlepas ke Kuala Lumpur sebelum ke Sarawak pagi esok,” katanya ketika dihubungi.
Jelasnya, Dr Ainul seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga dan sifatnya juga seorang pendiam.
“Sepanjang seminggu pulang ke kampung Ainul banyak membawa kami keluar berjalan-jalan, memandangkan suaminya seorang guru, ” katanya.
Terdahulu, sebuah helikopter BO-105 membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Long Lellang Short Takeoff and Landing Port (STOLport) di Sarawak, petang ini.
Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan mengesahkan insiden berkenaan.
CAAM menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.
Selain Dr Ainul Baraah, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, , PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.
Berita berkaitan:
Helikopter FDS terhempas bawa empat petugas KKM – Dzulkefly
Helikopter terhempas: Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia
Helikopter ‘flying doctor’ terhempas di Sarawak, status 5 dalam pesawat belum diketahui
Helikopter terhempas: PDRM gerak operasi SAR, 10 jam melalui darat
© New Straits Times Press (M) Bhd
