hafizithnin@mediaprima.com.my
SURUHANJAYA Tenaga (ST) merekodkan penggunaan elektrik oleh pusat data mencecah 9.28 peratus daripada keseluruhan penggunaan tenaga, ketika penggunaan elektrik negara turut meningkat susulan cuaca panas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Siti Safinah Salleh berkata, peningkatan penggunaan elektrik pusat data antaranya dipengaruhi sistem penyejukan yang memerlukan lebih banyak tenaga dalam keadaan cuaca panas.
“Kadangkala penggunaan kekal sama, tetapi apabila cuaca lebih panas, sistem penyejukan memerlukan lebih banyak tenaga untuk menyejukkannya.
“Jadi, di situ kita melihat penggunaan meningkat walaupun belum ada tambahan pusat data,” katanya selepas perasmian Energy Regulatory Insights (ERI) dianjurkan Suruhanjaya Tenaga di sini, semalam.
Hadir merasmikan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Beliau berkata, penggunaan elektrik keseluruhan tahun ini secara kasar dianggarkan meningkat kira-kira lima peratus berbanding tahun lalu. Peningkatan itu mengambil kira faktor cuaca selain permintaan daripada pusat data yang semakin meningkat.
“Pada masa sama, permintaan puncak elektrik ketika ini melebihi 21 gigawatt (GW), dengan beberapa pusat data dijangka mula beroperasi sekitar November depan.
“Keadaan itu dijangka menyebabkan penggunaan elektrik meningkat pada suku keempat tahun ini, namun kesannya turut bergantung kepada tempoh cuaca panas berterusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

