OKU tambah kemahiran demi masa depan

OKU tambah kemahiran demi masa depan
OKU tambah kemahiran demi masa depan

Jamilah melihat Gurunathan (berkerusi roda) menjalani Kursus Asas Pembuatan Pastri dan Bakeri yang dilaksanakan di bawah Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat di Dewan Dato’ Ahmad Said, Sungai Rokam di sini baru-baru ini.

IPOH – Setelah puluhan tahun bergantung kepada kemahiran menghasilkan sampul surat, sekumpulan orang kurang upaya (OKU) kini berani keluar daripada zon selesa dengan mempelajari kemahiran baharu demi masa depan.

Menerusi Kursus Asas Pembuatan Pastri dan Bakeri yang dilaksanakan di bawah Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat memberi nilai tambah kepada golongan itu.

Bagi S Gurunathan, 55, yang sudah 34 tahun bersama Persatuan Pemulihan Orang Cacat (PPOC), kursus asas pembuatan pastri dan bakeri membuka ruang untuknya meneroka peluang perniagaan dari rumah.

“Sebelum ini memang tidak pernah belajar buat kek. Ini kali pertama, selepas belajar saya mahu cuba membuat kek di rumah dahulu.

“Apabila sudah mahir, saya boleh berniaga sekali gus menambahkan pendapatan,” katanya ketika ditemui pada kursus berkenaan di Dewan Dato’ Ahmad Said, Sungai Rokam di sini baru-baru ini.

Bagi Hairol Azhar Mahmud, 38, peluang mempelajari kemahiran baharu itu memberi keyakinan untuk mencuba bidang bakeri kerana pekerjaan bersesuaian dengan keperluan individu berkerusi roda masih terhad.

“Kemahiran berkenaan boleh menjadi langkah awal untuk mengusahakan perniagaan saya sendiri pada masa depan. Sekurang-kurangnya saya kini sudah mempunyai asas dan hanya perlu terus berlatih bagi meningkatkan kemahiran.

No Image Caption

“Peluang bekerja dengan orang lain agak terhad kerana tidak banyak tempat kerja yang sesuai serta mempunyai akses mesra pengguna berkerusi roda,” katanya.

Presiden PPOC Perak, Mohd Fhami Nordin berkata, kursus itu merupakan usaha mempelbagaikan kemahiran pelatih OKU hasil pemberian dana Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat oleh kerajaan negeri sebanyak RM10,000.

“Peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk golongan OKU masih terhad sedangkan mereka turut mempunyai potensi menyertai industri makanan dan minuman yang semakin berkembang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak, Jamilah Zakaria berkata, program pembolehdayaan itu menunjukkan perkembangan positif apabila lima daripada 13 projek yang diluluskan tahun lalu dikenal pasti sangat berjaya dan berpotensi dikembangkan.

Katanya, program itu memberi impak sosial apabila meningkatkan keyakinan peserta serta penjaga untuk melihat potensi OKU membina perniagaan dan berdikari.

Program dilaksanakan itu selari dengan Flagship Kelima Pelan Perak Sejahtera 2030 yang digagaskan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Scroll to Top