Martin ketepi soal kejuaraan, fokus GP San Marino

Misano: Jorge Martin percaya kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan MotoGP pada tahap sekarang memang penting, tetapi dia tidak mahu terlalu memikirkannya ketika ini.

Pelumba Aprilia itu kini memiliki kelebihan 19 mata ke atas Marc Marquez dalam kedudukan keseluruhan menjelang Grand Prix (GP) San Marino.

Martin mula mendahului kejuaraan selepas GP Belanda dan kekal di tangga teratas sejak itu.

Bagaimanapun, kelebihan terbesar juara MotoGP 2024 itu ialah 31 mata, yang dicatat sejurus selepas GP Britain.

Menjelang GP San Marino, Martin menekankan kepentingan perlumbaan di laman sendiri Aprilia dan berkata dia tiba di Misano dengan ‘objektif yang jelas’.

“GP Misano sentiasa istimewa apabila anda bersama pasukan Itali dan dengan Aprilia serta peminat, saya yakin ia akan menjadi hujung minggu yang hebat.

“Kami akan beraksi di litar yang saya gemari selepas melakukan tugas yang baik di Aragon, dan kami mempunyai objektif yang jelas,” kata Martín.

Pelumba Aprilia itu mengakui kedudukan di puncak kejuaraan penting buat pasukannya, namun menegaskan ia bukan faktor penentu dengan tujuh pusingan masih berbaki.

“Mendahului kejuaraan penting buat seluruh pasukan Aprilia, tetapi kami sudah melihat bahawa disebabkan perbezaan mata yang kecil, ia bukan keutamaan mahupun faktor penentu.

“Kami perlu terus memberikan tumpuan kepada kerja kami. Saya tidak sabar untuk menunggang RS-GP26 dan memberikan yang terbaik dalam perlumbaan di laman sendiri Aprilia,” katanya.

MotoGP akan kembali berlangsung bermula Jumaat hingga Ahad ini di GP San Marino dan Rimini Riviera dekat Misano, yang juga pusingan ke-14 pada musim 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top