Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya bagi mendapatkan jawatan pengerusi sebuah syarikat dengan gaji RM690,000 setahun, 12 tahun lalu.

Memetik laporan Harian Metro, Abdul Azeez, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi, sebelum memohon supaya kes berkenaan dibicarakan.
“Saya faham (pertuduhan), tuduhan itu tidak benar sama sekali dan saya mohon dibicarakan,” katanya.
Beliau hadir ke mahkamah dengan memakai baju ungu lokap polis serta tangan bergari ketika berada di dalam kandang tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan, Abdul Azeez yang ketika itu memegang jawatan Pengerusi TH didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh jawatan sebagai Pengerusi Putrajaya Perdana Berhad.
Jawatan berkenaan didakwa menawarkan remunerasi sebanyak RM690,000 setahun, selain kemudahan sebuah kereta BMW 7 Series bersama seorang pemandu tetap.
Pertuduhan itu turut menyatakan Abdul Azeez mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga TH ketika itu, Tan Sri Ismee Ismail, supaya mencadangkan beliau sebagai wakil TH dalam Putrajaya Perdana Berhad.
Beliau juga didakwa cuba meyakinkan Ahli-Ahli Lembaga TH ketika Mesyuarat Lembaga Pengarah Lembaga TH Bil. 4/2014 (309) supaya meluluskan cadangan pelaburan sehingga RM193.5 juta, bersamaan sehingga 30 peratus daripada modal saham terbitan sedia ada dalam Putrajaya Perdana Berhad, sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan terhadap tertuduh.
Artikel lain: SPRM pertimbang lantik pakar forensik asing siasat RCI TH -“Kami masih berbincang”
Kesalahan itu didakwa berlaku di Bilik Mesyuarat Lembaga, Bangunan TH, Jalan Tun Razak, di sini, pada 25 Ogos 2014.
Abdul Azeez, yang juga bekas Ahli Parlimen Baling, didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, peruntukan tersebut membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Sumber: Harian Metro (Muhamad Lokman Khairi)

