Kepimpinan Ghani terbukti ketika krisis Covid-19

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Krisis menjadi medan terbaik untuk menguji kepimpinan sebenar, terutama dalam menggunakan kepakaran dan kebijaksanaan membuat keputusan bagi mencari penyelesaian terhadap sesuatu masalah.

Bagi bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, perkara itu jelas dapat dilihat ketika Malaysia berdepan pandemik Covid-19 yang turut menyaksikan masa depan Liga Malaysia berada dalam keadaan tidak menentu.

Ketika semua aktiviti sukan negara terhenti dan keselamatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan, Reezal Merican berkata beliau menyaksikan sendiri kesungguhan Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan yang ketika itu memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MFL untuk memastikan kelangsungan bola sepak tempatan.

Menurutnya, Ab Ghani bukan sekadar datang bertemu dengannya bagi meminta saingan Liga Malaysia diteruskan, sebaliknya turut membentangkan perancangan dan idea yang jelas untuk mencari penyelesaian terbaik dalam situasi yang belum pernah dihadapi negara sebelum itu.

“Kesungguhan Ab Ghani pada waktu itu untuk datang berbincang dengan saya memang cukup besar bagi memastikan kelangsungan Liga Malaysia terus dapat dilaksanakan.

“Ini kerana jika Liga Malaysia berhenti maka terputuslah mata pencarian ramai pemain, jurulatih dan pegawai kelab. Malah untuk menghidupkan semula Liga Malaysia bila sudah terhenti lama pasti akan lebih sukar bukan sahaja untuk menghidupkan kembali Liga Malaysia malah seluruh industri bola sepak,” katanya.

Reezal Merican berkata, kelangsungan Liga Malaysia ketika itu juga penting sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menghadapi kempen kelayakan Piala Asia 2023 yang akhirnya menyaksikan Malaysia layak ke Doha, Qatar.

“Kita bukan berbincang sekali atau dua kali, tetapi banyak pertemuan diadakan kerana Ab Ghani datang dengan perancangan dan idea bagaimana sukan bola sepak ini boleh diteruskan dalam keadaan yang cukup mencabar ketika itu,” katanya.

Sebelum itu, berkuat kuasa 16 Mac 2020, kesemua perlawanan Liga Malaysia ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19 yang semakin berleluasa.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pasukan tidak dibenarkan menjalani latihan berpasukan seperti biasa sehingga Latihan Fasa 1 bermula pada 15 Jun 2020 tanpa sentuhan fizikal.

Kerajaan Malaysia kemudian membenarkan Latihan Fasa 2 pada 15 Julai 2020 yang membolehkan pemain melakukan sentuhan fizikal mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan sebelum MFL mengumumkan saingan Liga Malaysia kembali bersambung pada 28 Ogos 2020.

Bagi Reezal Merican, beliau mengakui tidak terkejut apabila mendapat tahu Ab Ghani dicalonkan untuk merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Ketika krisis melanda pada pandemik Covid-19, saya melihat komitmen Ab Ghani. Waktu itu, Tan Sri Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden MFL turut sama membantu selain sokongan daripada kelab kelab lain yang benar benar mahu melihat bola sepak terus hidup.

“Saya tahu, untuk meyakinkan Kerajaan Malaysia pada waktu itu bukan sesuatu yang mudah kerana Covid-19 adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian. Jadi MFL menyediakan pelan SOP Gelembung Sukan yang pada saya cukup efektif untuk dilaksanakan, bukan hanya untuk bola sepak malah dijadikan rujukan kepada sukan lain.

“Bagi saya, itulah yang membezakan seorang pemimpin. Dalam keadaan krisis, kita bukan hanya perlu bercakap tentang masalah, tetapi perlu datang dengan penyelesaian dan perancangan.

“Jadi saya tidak terkejut apabila Ab Ghani dicalonkan untuk menjawat jawatan Presiden FAM pula. Saya fikir dengan pengalaman beliau sebagai bekas pemain serta pengurusan bola sepak, ia akan membantu FAM untuk bergerak maju ke depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top